
KUALA LUMPUR - Cukai; perkataan yang mudah disebut tetapi hakikatnya, membawa impak besar kepada pembangunan sesebuah negara.
Tidak ada negara mampu berdiri tanpa mengenakan cukai ke atas rakyatnya dan hasil kutipan itu dipulangkan semula dalam bentuk pendidikan yang diberikan secara percuma atau elaun tertentu.
Menurut Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), cukai digunakan untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran negara.
Ia meliputi pelbagai projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, klinik kesihatan, jalan raya, lapangan terbang dan seumpamanya.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula mentakrifkan kutipan cukai sebagai dana yang digunakan kembali oleh kerajaan untuk keselamatan negara dan rakyat.
Aspek ini mencakupi pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial, khususnya perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat.
Perluasan SST Dan Reaksi Rakyat
Pengumuman kerajaan untuk memperluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti dijangka menimbulkan pelbagai reaksi.
Tidak dinafikan, cukai sering menimbulkan konotasi negatif dalam kalangan rakyat kerana ia dianggap sebagai beban yang wajib dijelaskan tanpa mengira kedudukan ekonomi seseorang.
Realitinya, cukai bukan semata-mata pungutan wang, tetapi asas penting kepada pembangunan negara.
Justeru, perlu ada perubahan naratif untuk mengubah penolakan kepada pemahaman dan dari keraguan kepada keyakinan.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan MADANI mengambil langkah berani untuk memperluas skop SST sebagai satu usaha jangka panjang untuk reformasi serta memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Ia pastinya bukan keputusan popular, namun perlu dilakukan kerana Malaysia sudah terlalu lama bergantung kepada subsidi menyeluruh dan sumber hasil yang sempit.
Langkah ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi fiskal yang menyeluruh demi memastikan negara tidak terjerumus dalam krisis kewangan yang lebih parah pada masa hadapan.
Cukai Bukan Musuh, Tapi Alat Kesejahteraan
Cukai sememangnya tidak digemari oleh sesiapapun dan itu adalah satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan.
Namun sebagai rakyat yang matang berfikir dan menilai, semua harus menerima kenyataan bahawa ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab semua warganegara.
Puluhan negara maju termasuk Sweden, Jerman dan Jepun berhasil menikmati kecemerlangan sistem kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam kerana rakyatnya menyumbang melalui sistem cukai yang telus dan berstruktur.
Di Malaysia, naratif tentang cukai harus diubah, daripada dianggap beban kepada difahami sebagai pelaburan rakyat terhadap masa depan negara.
Perdana Menteri sendiri menegaskan bahawa pendekatan kerajaan bukan untuk membebankan rakyat, tetapi untuk memperbaiki sistem yang ada agar hasil yang dikutip melalui cukai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan, bukan segelintir kelompok elit atau kroni.
Ke Mana Hasil SST Pergi?
Rakyat seperti biasa pasti akan membahaskan ke mana perginya hasil cukai negara, dan ia adalah satu persoalan yang wajar.
Mereka berhak tahu ke mana kutipan yang terhasil dari jerih payah mencari rezeki itu disalurkan dan kerajaan perlu menjawab dengan ketelusan.
Ya, sebahagian besar hasil daripada peluasan SST akan disalurkan ke sektor kesihatan awam, pendidikan, subsidi bersasar kepada golongan B40, dan juga pembiayaan program-program pembangunan luar bandar.

Sebagai contoh, hasil cukai ini membolehkan lebih banyak klinik kesihatan dibina, membiayai program makanan berkhasiat di sekolah-sekolah luar bandar, dan memperkukuh bantuan tunai bersasar seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah).
Ini adalah langkah yang konsisten dengan nilai ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI iaitu mengutamakan keperluan rakyat dan melaksanakan pembangunan secara menyeluruh, bukan bersifat kosmetik.
Dalam ucapannya baru-baru ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, 5.4 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai bantuan bersasar, hasil kutipan cukai termasuk SST.
Golongan ini katanya, perlu tampil bersuara, menyatakan sokongan dan kepercayaan kepada usaha kerajaan, bukan kerana ingin membodek, tetapi sebagai warganegara yang faham akan keperluan reformasi.
Jelas beliau, rasa terima kasih ini bukan bermaksud menutup mata terhadap kelemahan kerajaan, tetapi menunjukkan penghargaan kepada semua dasar yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian.
Sikap ini katanya lagi, akan membina keyakinan bersama antara rakyat dan pentadbir, iaitu teras penting kepada pembinaan sebuah negara yang stabil dan progresif.
Kebimbangan Utama Rakyat
Bercakap mengenai SST, antara kebimbangan utama rakyat ialah harga barangan harian yang dikhuatiri akan melonjak.
Dalam hal ini, sesuatu yang perlu disyukuri adalah cukai terbabit hanya akan dikenakan ke atas barangan tertentu.
Peluasan ini melibatkan barangan mewah dan perkhidmatan bukan keperluan, termasuk makanan laut premium seperti salmon dan kod; buah-buahan import dan jentera industri yang akan dikenakan cukai jualan lima peratus.
Sementara cukai jualan yang dinaikkan kepada 10 peratus melibatkan bilangan kecil barangan seperti basikal lumba dan lukisan antik.
Bagi skop cukai perkhidmatan pula, ia meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan dan pajakan; pembinaan; kewangan; Kesihatan swasta; pendidikan dan kecantikan.
Cukai perkhidmatan tidak dikenakan secara menyeluruh, sebaliknya memfokuskan kepada segmen tertentu contohnya, cukai perkhidmatan sewaan dan pembinaan tidak dikenakan ke atas rumah kediaman, hanya dikenakan ke atas industri dan komersil.

Selain itu, cukai perkhidmatan kesihatan swasta dan pendidikan tinggi hanya dikenakan atas bukan warganegara, sementara cukai perkhidmatan Pendidikan dikenakan hanya atas sekolah dengan yuran pengajian melebihi RM60,000 setahun, iaitu hanya terpakai kepada sekitar 30 sekolah antarabangsa teratas.
Biarpun peluasan cukai perkhidmatan peluasan cukai perkhidmatan berkuatkuasa 1 Julai 2025, syarikat yang belum berdaftar tetapi menyediakan antara enam jenis perkhidmatan tersebut, diberi masa sehingga Ogos untuk mendaftar dan mula mengutip cukai perkhidmatan bermula September 2025.
Kerajaan sebagai tanda prihatin bertindak mengecualikan beberapa barangan harian dan perkhidmatan daripada SST demi manfaat rakyat.
Antara yang tidak terkesan termasuk beras, tepung, minyak masak paket, susu bayi, ubatan asas, perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan di sekolah kerajaan serta pengangkutan awam seperti bas dan tren.
Bagi memastikan tiada pihak khususnya peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati, kerajaan turut mewujudkan saluran aduan rasmi untuk rakyat membuat laporan.
Langkah proaktif itu dilihat amat efisien untuk mencegah sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.
Gesaan Tangguh Perluasan
Adalah menjadi lumrah jika keputusan atau ketetapan dibuat kerajaan tidak sepenuhnya dipersetujui semua pihak dan hal yang sama turut berlaku ke atas perluasan SST.
Malah, kerajaan mengambil sikap terbuka dalam mendengar permasalahan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh rakyat berkaitan langkah peluasan SST ini.
Contohnya, mengenai keputusan terbartu untuk mengecualikan buah oren dan epal import dari peluasan SST seperti dipersetujui dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Ia tindakan bertanggungjawab kerajaan dalam memastikan peluasannya kelak tidak menjejaskan rakyat kebanyakan, disamping menunjukkan setiap perubahan yang dibuat kerajaan, bukan dipengaruhi oleh keputusan sepihak atau kumpulan pembuat dasar saja, sebaliknya mengambil kira keluhan serta cadangan yang datang dari rakyat sendiri.
Risiko Tanpa SST
Walaupun terdapat gesaan pelbagai pihak untuk kerajaan menangguhkan perluasan SST, hakikatnya negara berdepan risiko defisit fiskal jika reformasi ini tidak dilaksanakan dengan segera.
Hutang negara akan terus meningkat dan kebergantungan kepada pinjaman luar akan membelenggu generasi akan datang, malah lebih parah, kerajaan tidak akan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menyalurkan bantuan kepada golongan rentan jika berlaku krisis ekonomi global.
Lebih penting lagi, naratif tentang SST dan reformasi fiskal ini jika gagal disampaikan dengan betul, bakal menjadi isu yang akan dimanipulasi oleh pihak tertentu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pihak pembangkang pastinya akan menggunakan sentimen anti-cukai sebagai senjata politik. Justeru, kerajaan perlu memastikan komunikasi berterusan, berasaskan data dan empati, disampaikan kepada rakyat secara konsisten.
Menolak Populisme, Memilih Realiti
Kerajaan perlu memperkukuh kepercayaan rakyat dengan menyampaikan secara jujur dan telus, kenapa SST diperluaskan serta ke mana hasilnya disalurkan.
Pada masa sama, rakyat juga perlu keluar daripada kepompong pemikiran populis bahawa semua perkhidmatan dan barangan harus diberikan secara percuma atau disubsidi.
Cukai, apabila diurus dengan amanah dan cekap, adalah alat paling ampuh untuk memastikan semua rakyat mendapat hak mereka tanpa mengira latar belakang.
Perluasan SST bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan baharu ke arah Malaysia yang lebih mampan, adil dan berdaya saing. - Getaran, 26 Jun 2026

