PERMIM mahu lesen perniagaan dibatalkan terhadap pelanggaran prosedur halal

LocalPolitics
4 Nov 2026 • 8:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PERMIM mahu lesen perniagaan dibatalkan terhadap pelanggaran prosedur halal

SHAH ALAM, 4 NOV: Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) menggesa tindakan lebih tegas termasuk hukuman berat dan pembatalan lesen perniagaan terhadap pihak yang didapati melanggar prosedur pensijilan halal.

Presidennya, Mohamed Azman Shah Shahul Hameed berkata desakan itu susulan insiden ketidakpatuhan piawaian halal membabitkan sebuah pembekal ayam di Puchong yang mencetuskan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Pensijilan halal bukan sekadar satu keperluan perundangan atau prosedur pentadbiran. Sebaliknya, ia merupakan satu amanah suci yang amat besar kepada umat Islam serta lambang komitmen Malaysia terhadap kualiti, integriti dan nilai-nilai Islam.

“Sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan integriti halal mesti ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi agar menjadi pengajaran serta peringatan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Image from: PERMIM mahu lesen perniagaan dibatalkan terhadap pelanggaran prosedur halal
Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) Mohamed Azman Shah Shahul Hameed

Menurut Mohamed Azman Shah, langkah penguatkuasaan lebih ketat perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan integriti pensijilan halal negara terus terpelihara selain melindungi kepentingan pengguna Islam.

Antara langkah dicadangkan termasuk menggantung atau membatalkan lesen perniagaan pihak yang didapati bersalah, menyenaraihitamkan pesalah berulang serta memperketat pemantauan pematuhan halal di sepanjang rantaian bekalan.

Dalam pada itu, Mohamed Azman Shah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta agensi penguatkuasaan berkaitan atas tindakan pemeriksaan dan penggantungan operasi pihak yang terlibat.

Katanya, penguatkuasaan ketegasan penguatkuasaan penting bagi mengekalkan keyakinan pengguna dan reputasi Malaysia sebagai antara peneraju sistem pensijilan halal di peringkat antarabangsa.

Semalam, JAIS mengesahkan premis penyembelihan ayam di Puchong yang disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan tidak mengikut hukum syarak itu tidak pernah memiliki sijil halal.

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata premis di Kampung Sri Aman Hilir itu juga tidak mempunyai rekod permohonan pensijilan halal mahupun Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Dalam serbuan pada 30 Oktober lalu, pihak berkuasa merampas lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400 dari premis berkenaan yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved