Toleransi sifar terhadap pengusaha, pemandu cuai

LocalCars
1 Nov 2026 • 10:26 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Toleransi sifar terhadap pengusaha, pemandu cuai

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan merangka garis panduan khas bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan pantas diambil terhadap pengusaha serta pemandu kenderaan berat yang melanggar syarat lesen sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Pengerusinya Datuk Phoong Jin Zhe berkata langkah itu susulan beberapa insiden membabitkan kenderaan berat termasuk tragedi dua beranak maut selepas dihempap kontena di Sepanggar, baru-baru ini.

Beliau yang turut menzahirkan dukacita berkata, tragedi berkenaan tidak sepatutnya berlaku dan menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan operasi kenderaan perdagangan tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi.

“Dua nyawa yang tidak berdosa telah terkorban. Ini bukan sekadar angka dalam statistik kemalangan jalan raya, tetapi dua insan yang mempunyai keluarga dan masa depan.

“Keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan. Saya mahu memastikan setiap pengusaha kenderaan perdagangan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan operasi mereka,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga LPKP Sabah di sini pada Jumaat.

Phoong berkata pihaknya turut meneliti perbezaan kerangka perundangan dan bidang kuasa penguatkuasaan terhadap pengendali kenderaan perdagangan di Semenanjung dan Sabah bagi mewujudkan mekanisme tindakan yang bersesuaian.

Katanya, garis panduan baharu itu akan memberi penekanan kepada usaha mempercepatkan siasatan dan tindakan terhadap pihak yang didapati melanggar syarat lesen, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

“Di Semenanjung Malaysia, Menteri Pengangkutan mempunyai kuasa tertentu untuk menggantung atau membatalkan lesen syarikat pengendali berdasarkan peruntukan undang-undang yang berbeza daripada yang terpakai di Sabah. Justeru, adalah penting untuk LPKP Sabah meneliti dan mewujudkan mekanisme yang bersesuaian bagi membolehkan tindakan lebih ketat dan tegas diambil dalam situasi seperti ini.”“Kita tidak boleh biarkan kelalaian pengusaha atau pemandu terus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Garis panduan baharu ini akan memberi penekanan kepada usaha mempercepatkan proses siasatan dan tindakan terhadap pihak yang didapati melanggar syarat lesen, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kajian cadangan penjajaran semula laluan BAS.MY Kota Kinabalu sudah selesai dan pada dasarnya dipersetujui LPKP Sabah melibatkan beberapa penambahbaikan.

Menurutnya, ia termasuk penambahan hentian bas di kawasan strategik seperti Klinik Kesihatan Luyang, Hospital Likas, Tanjung Aru dan Kepayan Ridge bagi memenuhi keperluan serta permintaan pengguna.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya memerlukan penyelarasan lanjut membabitkan pindaan kontrak perolehan serta kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.

Bercakap mengenai jumlah kumulatif penumpang BAS.MY Kota Kinabalu, Phoong berkata, ia telah meningkat kepada 598,054 orang setakat Oktober, berbanding kira-kira 194,000 pada 10 Ogos lalu, iaitu peningkatan 200 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan.

Katanya, peningkatan itu membuktikan permintaan tinggi rakyat terhadap perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik, sekaligus mengukuhkan keperluan untuk memperluas dan mengoptimumkan jaringan laluan sedia ada.

Selain itu katanya, bagi mempermudahkan permohonan lesen, beliau memaklumkan LPKP bersetuju menggugurkan dua dokumen sokongan bagi permohonan lesen baharu, iaitu dokumen kontrak bagi Lesen Pembawa A serta surat pengesahan status kebankrapan bagi permohonan Lesen Pembawa A dan C.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengurangkan beban dokumentasi dan birokrasi, selain memperkemas serta mempercepatkan proses permohonan tanpa menjejaskan aspek pematuhan dan keselamatan.

Dalam pada itu, Phoong turut mengumumkan seramai 1,106 pemandu bas sekolah, kereta sewa dan teksi disahkan layak menerima bantuan sekali bayar RM1,000, dengan majlis penyampaian dijadualkan pada 6 November ini.

Beliau berkata, LPKP Sabah akan menghubungi penerima dalam masa terdekat bagi memaklumkan butiran penyerahan bantuan, manakala satu sesi khas turut diadakan di Sandakan bagi memudahkan penerima di kawasan berkenaan.

Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan membantu individu yang layak tetapi berkemungkinan tercicir daripada senarai penerima mendapatkan bantuan berkenaan.

“Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pengangkutan dan kita amat berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, atas sokongan beliau yang berterusan.

“Sebagai Pengerusi LPKP, komitmen saya adalah untuk pastikan kita mempunyai sistem pengangkutan, perkhidmatan lebih baik dan industri yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved