Permintaan biodiesel kukuh, harga minyak sawit berpotensi melepasi RM4,300 - TA Research

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 10:39 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan biodiesel kukuh, harga minyak sawit berpotensi melepasi RM4,300 - TA Research Image from: Permintaan biodiesel kukuh, harga minyak sawit berpotensi melepasi RM4,300 - TA Research johardy21/08/2026 - 10:39 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Minyak sawit mungkin memasuki kitaran permintaan baharu apabila mandat biodiesel yang semakin berkembang menjadikan komoditi itu semakin penting sebagai bahan mentah tenaga, sekali gus berpotensi memberikan sokongan lebih kukuh kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

 

TA Research mengekalkan saranan `Overweight' terhadap sektor perladangan dan unjuran purata harga MSM 2026 pada RM4,300 satu tan, namun melihat potensi kenaikan sekiranya permintaan biodiesel kekal kukuh dan pasaran minyak sayuran global semakin ketat. 

 

Peralihan Indonesia daripada B40 ke arah B50 menjadi teras kepada prospek itu. Mandat campuran lebih tinggi akan menyerap lebih banyak minyak sawit untuk kegunaan domestik, mengurangkan bekalan untuk eksport dan menjadikan biodiesel sebagai pemacu permintaan berstruktur, bukan sekadar sokongan harga sementara.

 

TA Research berkata harga MSM akan kekal berkitar, dipengaruhi pengeluaran, inventori, cuaca, harga minyak mentah dan minyak sayuran pesaing.

 

Bagaimanapun, penggunaan biodiesel lebih tinggi dijangka menyerap pertambahan bekalan, sekali gus mengurangkan kemungkinan MSM kekal di bawah RM4,000 satu tan untuk tempoh berpanjangan.

 

Permintaan tenaga ubah persamaan

Trend itu bukan hanya berlaku di Indonesia. Permintaan bahan api boleh diperbaharui yang lebih tinggi di Amerika Syarikat, Brazil dan Eropah menyerap lebih banyak minyak kacang soya, minyak sesawi dan minyak berasaskan sisa, mengetatkan imbangan minyak sayuran global dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada minyak sawit menerusi penggantian.

 

Bagi Malaysia, TA Research percaya peluangnya bukan untuk menandingi jumlah biodiesel Indonesia, sebaliknya bergerak lebih jauh ke hiliran menerusi penapisan, produk khusus, oleokimia dan bahan api boleh diperbaharui, di samping meningkatkan produktiviti, kebolehkesanan dan penggunaan sisa.

 

Lawatan TA Research ke operasi SD Guthrie di Pulau Carey menyerlahkan potensi itu. Kumpulan tersebut mempunyai kapasiti biodiesel kira-kira 270,000 tan setahun, terdiri daripada kemudahan berkapasiti 120,000 tan dan 150,000 tan, dengan loji lebih baharu mampu memproses bahan mentah berkualiti rendah serta bahan mentah terpilih berasaskan sisa.

 

Dengan penggunaan kapasiti masih di bawah paras terpasang, SD Guthrie mempunyai ruang meningkatkan pengeluaran biodiesel sekiranya Malaysia menaikkan mandat campuran atau permintaan eksport bertambah baik.

 

Kebolehkesanan bahan mentah berasaskan sawitnya mencapai 98% sehingga ke kilang dan 90% sehingga ke ladang pada FY2025.

 

Pemain bersepadu lebih menyerlah

Kuala Lumpur Kepong (KLK) turut mempunyai pendedahan besar kepada bahan api boleh diperbaharui, dengan KLK Bioenergy dan KLKepong Oleomas memiliki gabungan kapasiti pengeluaran generasi pertama kira-kira 292,000 tan setahun.

 

Sembilan loji biogas dan 35 mesin penekan tali sawat penapis KLK turut membantu menghasilkan nilai daripada sisa perladangan.

 

IOI Corporation pula menunjukkan peningkatan produktiviti apabila hasil buah tandan segar (BTS) FY2025 meningkat 5.9% kepada 20.49 tan sehektar, manakala mekanisasi pemindahan BTS dalam ladang meningkatkan produktiviti penuai antara 25% hingga 32%. Kumpulan itu turut menanam semula 9,254 hektar sepanjang tahun berkenaan.

 

TA Research melihat SD Guthrie, KLK dan IOI Corporation sebagai antara pemain bersepadu yang berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan perubahan berstruktur itu, dengan gabungan skala huluan, operasi hiliran, kebolehkesanan lebih baik serta peluang dalam bahan api boleh diperbaharui bernilai lebih tinggi.

 

Pemain huluan tulen masih boleh mencatat prestasi lebih baik ketika harga MSM melonjak, tetapi TA Research percaya kumpulan bersepadu mampu menghasilkan pendapatan lebih berdaya tahan sepanjang kitaran komoditi menerusi fleksibiliti dalam makanan, oleokimia, produk khusus dan bahan api boleh diperbaharui.

 

Unjuran RM4,300 mungkin konservatif

Dalam tempoh terdekat, harga MSM dijangka bergerak dalam julat tertentu apabila pengeluaran pulih secara bermusim dan inventori kekal tinggi.

 

Namun, program biodiesel Indonesia, permintaan bahan api boleh diperbaharui dan imbangan minyak sayuran global yang lebih ketat dijangka memberikan sokongan lebih kukuh kepada harga.

 

Risiko termasuk pengeluaran sawit dan peningkatan inventori yang lebih tinggi daripada jangkaan, kejatuhan mendadak harga minyak mentah, kelewatan atau perubahan mandat biodiesel, permintaan minyak makan global yang lemah, isu ESG dan kebolehkesanan serta peningkatan kos bahan mentah, metanol dan pengangkutan.

 

Secara keseluruhan, TA Research berpandangan biodiesel tidak akan menghapuskan kitaran harga MSM tetapi boleh mewujudkan paras sokongan harga yang lebih kukuh.

 

Jika B50 dan mandat bahan api boleh diperbaharui lain berkembang seperti dijangka, pemacu pertumbuhan berstruktur seterusnya bagi minyak sawit mungkin semakin banyak datang daripada sektor tenaga, bukan lagi hanya daripada permintaan makanan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved