Harga MSM dijangka kekal lebih RM4,600 setong pada September

Business & Finance
19 Aug 2026 • 3:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga MSM dijangka kekal lebih RM4,600 setong pada September

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melepasi paras RM4,600 setong pada September ini, didorong oleh asas bekalan yang mengetat serta gangguan geopolitik yang berterusan terhadap aliran perdagangan global.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai 2026.

“Bagaimanapun, angka pengeluaran Julai berkenaan masih berada di bawah paras tahun lalu, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun bagi bulan kelima berturut-turut sejak Mac 2026,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut MPOC, prestasi eksport turut mengukuh pada Julai dengan penghantaran meningkat 14.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan, dipacu terutamanya oleh pembelian yang lebih kukuh dari India menjelang perayaan Diwali serta permintaan berterusan dari rantau Afrika Sub-Sahara.

“Meskipun stok minyak sawit terus meningkat kepada 2.62 juta tan pada Julai, pengumpulan stok di Malaysia tidak menjadi kebimbangan utama berikutan permintaan biodiesel yang kukuh serta eksport awal di Indonesia telah mengekalkan paras stok negara jiran itu pada tahap rendah.

“Memasuki suku keempat 2026, pengeluaran dijangka merosot susulan trend penurunan musiman dan kadar perahan minyak (OER) yang mula mereda berbanding paras tinggi awal tahun ini, sekali gus mengetatkan bekalan menjelang akhir tahun,” katanya.

Selain faktor bekalan, gangguan geopolitik global turut mengubah aliran perdagangan minyak bertapis dunia, termasuk gangguan di Selat Bab al-Mandeb, Laut Merah dan Selat Hormuz selepas tamatnya tempoh gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 17 Ogos lalu.

Pada masa sama, penggantungan operasi di beberapa pelabuhan utama dan kilang pemprosesan di rantau Laut Hitam akibat konflik Rusia-Ukraine menambah ketidakpastian terhadap bekalan eksport minyak bunga matahari bagi tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Mengenai pasaran niaga hadapan, kontrak hadapan MSM (FCPO) bagi tahun 2027 yang didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) mencecah melebihi RM5,000 setong berikutan kebimbangan pasaran terhadap potensi impak El Nino.

“Permintaan minyak sawit Indonesia bagi adunan biodiesel B50 juga berpotensi terus mengukuh berikutan pusingan peralihan tiga bulan bagi menghabiskan stok biodiesel B40 berakhir pada September.

“Namun begitu, risiko penurunan harga tetap wujud sekiranya kesesakan logistik Laut Hitam pulih, kemasukan bekalan baharu minyak bunga matahari serta penurunan harga tenaga jika ketegangan geopolitik mereda,” katanya. – UTUSAN

The post Harga MSM dijangka kekal lebih RM4,600 setong pada September appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved