liza06/05/2026 - 18:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei – Elridge Energy Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM57.31 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) berbanding RM41.17 juta pada tahun sebelumnya, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk tenaga biojisim terutamanya dari pasaran eksport.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia merekodkan hasil sebanyak RM431.98 juta, naik 11.03 peratus daripada RM389.05 juta pada FY2024, disokong terutamanya oleh segmen utama iaitu pengeluaran tempurung kelapa sawit (PKS) yang terus mendapat permintaan tinggi dari pasaran Asia Pasifik termasuk Jepun, Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
“Jepun kekal sebagai antara pasaran eksport utama syarikat, didorong oleh keperluan berterusan industri penjanaan kuasa dan sektor industri terhadap bahan api biojisim sebagai alternatif tenaga lebih bersih dan mampan.
“Elridge Energy turut mencatat peningkatan margin keuntungan kasar kepada 23.91 peratus berbanding 20.99 peratus pada tahun sebelumnya, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih baik serta pengurusan kos yang lebih berkesan sepanjang tempoh kewangan tersebut,” katanya.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat kepada RM75.90 juta daripada RM56.35 juta pada tahun sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan hasil serta peningkatan margin walaupun berdepan peningkatan kos pembiayaan.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset syarikat meningkat kepada RM364.39 juta berbanding RM266.41 juta, manakala ekuiti meningkat kepada RM232.01 juta disokong oleh pertambahan keuntungan tertahan.
Syarikat turut mengekalkan kedudukan kecairan yang kukuh dengan baki tunai dan bank berjumlah RM123.65 juta, sekali gus memberi ruang fleksibiliti kewangan untuk menyokong operasi dan pelan pengembangan.
Dalam aspek operasi, PKS kekal sebagai penyumbang utama pendapatan syarikat, dengan kapasiti pengeluaran diperluaskan melalui beberapa fasiliti termasuk di Selangor, Pahang dan Johor, selain perancangan pembangunan di Sabah.
Segmen pelet kayu pula mencatat penurunan hasil berikutan tumpuan operasi yang lebih besar terhadap pengembangan PKS, namun masih berperanan sebagai produk pelengkap dalam portfolio biojisim syarikat.
Melangkah ke hadapan, Elridge Energy optimis terhadap prospek industri biomass global yang terus berkembang, disokong oleh peralihan tenaga dunia ke arah sumber boleh diperbaharui serta pengembangan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran eksport yang semakin meningkat. - DagangNews.com





