Untung bersih Frontken melonjak 36% kepada RM42 juta pada suku pertama disokong permintaan tinggi industri semikonduktor

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Frontken melonjak 36% kepada RM42 juta pada suku pertama disokong permintaan tinggi industri semikonduktor Image from: Untung bersih Frontken melonjak 36% kepada RM42 juta pada suku pertama disokong permintaan tinggi industri semikonduktor liza06/05/2026 - 14:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Mei – Frontken Corporation Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih lebih 36% bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 didorong oleh prestasi kukuh merentasi segmen utama serta pengurusan kos yang lebih berkesan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Frontken berkata keuntungan bersih bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY2026) meningkat kepada RM42.4 juta berbanding RM31.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

“Hasil kumpulan turut melonjak 43% tahun ke tahun kepada RM189.8 juta daripada RM132.6 juta, disokong sumbangan lebih kukuh daripada operasi di Malaysia dan Taiwan.

 

“Operasi anak syarikat di Malaysia mencatat lonjakan ketara sebanyak 266% tahun ke tahun, dipacu oleh peningkatan jualan dalam aktiviti berkaitan bekalan sektor minyak dan gas,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Sementara itu, anak syarikat di Taiwan merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 11%, disokong peningkatan volum semikonduktor susulan permintaan pelanggan yang kekal kukuh serta tempahan berterusan.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini.

 

Mengulas prospek, Frontken berkata permintaan berterusan dalam teknologi semikonduktor serta pelaburan berterusan dalam pembuatan maju dijangka mengekalkan tahap aktiviti dalam segmen berkenaan.

 

Syarikat itu turut memperkukuh kerjasama dalam rantaian bekalan serta hubungan pelanggan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

 

Bagi segmen minyak dan gas pula, Frontken menyatakan harga minyak mentah yang lebih tinggi terus menyokong aktiviti industri, sekali gus mewujudkan peluang kepada penyedia perkhidmatan walaupun meningkatkan keperluan operasi.

 

Dalam masa sama, kumpulan itu memantau rapat ketegangan geopolitik global serta melaksanakan perancangan rantaian bekalan secara proaktif bagi mengurangkan risiko gangguan.

 

Saham Frontken ditutup meningkat tujuh sen atau 1.6% kepada RM4.52 sebelum pengumuman keputusan kewangan tersebut dengan nilai pasaran sekitar RM7.7 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard