Permintaan hartanah 2024 kekal tinggi, kelonggaran syarat MM2H tarik minat warga asing -MIDF Research
herman
05/01/2024 - 10:28
KUALA LUMPUR 5 Jan - MIDF Research menjangkakan permintaan hartanah kekal kukuh pada tahun 2024 dengan minat belian perlu disokong dengan penambahbaikan kepada sektor tersebut.
Ini meneruskan momentum tahun lalu dengan data permohonan pinjaman daripada Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat tujuh bulan berturut-turut pada November 2023, meningkat 13.9% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM48.5 bilion.
Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan permohonan pinjaman yang terus meningkat menunjukkan minat pembelian hartanah kekal sihat.
"Secara keseluruhannya, permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pada November 2023 lebih tinggi pada RM560.6 bilion dengan pertambahan 5.2% (berbanding tempoh sama tahun lalu), menunjukkan pemulihan kepada permintaan hartanah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MIDF Research juga menyentuh pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah adalah lebih tinggi dengan RM20.6 bilion pada November 2023 iaitu pertambahan 13.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Pinjaman yang diluluskan meningkat untuk bulan ketujuh berturut-turut pada November 2023, menjadikan jumlah terkumpul pinjaman yang diluluskan pada November 2023 lebih tinggi pada RM245 bilion (pertambahan 8.7%).
"Pinjaman diluluskan yang lebih kukuh menunjukkan peningkatan baharu jualan pemaju hartanah yang akan menyokong pertumbuhan pendapatan,' kata penganalisis MIDF Research.
Jelas penganalisis firma itu, pihaknya juga menjangkakan peningkatan permintaan hartanah di negeri-negeri yang menjadi pilihan warga asing susulan kelonggaran syarat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diumumkan Kementerian Pelancongan baru-baru ini.
"Semakan semula terbaharu kepada MM2H menyaksikan had umur minimum dikurangkan kepada 30 tahun dan syarat kewangan juga lebih longgar.
"Kami menjangkakan hartanah di negeri-negeri yang menjadi minat warga asing seperti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan mendapat permintaan lebih tinggi," jelasnya.- DagangNews.com


