Permintaan hospital swasta di Selangor terus meningkat - Amirudin

LocalHealth & Fitness
22 May 2026 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Permintaan hospital swasta di Selangor terus meningkat - Amirudin
Amirudin menandatangani plak semasa Majlis Perasmian SSH Rawang pada Jumaat.

SHAH ALAM – Permintaan terhadap perkhidmatan hospital swasta di Selangor terus meningkat seiring kemampuan masyarakat mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, situasi itu dapat dilihat menerusi sambutan memberangsangkan terhadap beberapa hospital swasta termasuk Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang).

Menurutnya, kewujudan hospital swasta baharu itu mampu mengisi jurang permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan khususnya di kawasan Rawang hingga Hulu Selangor.

"Hospital swasta misalnya Selgate (SSH) Rawang dapat mengisi ruang antara permintaan dan keperluan masyarakat di kawasan Rawang sehingga ke Hulu Selangor.

"Sebelum ini sudah ada hospital swasta berhampiran Rawang tetapi permintaan dan kapasiti mereka juga sangat tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian SSH Rawang, di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, trend sama turut berlaku di kawasan semi bandar dan bandar lain di Selangor antaranya Kuala Selangor, Kota Damansara serta Petaling Jaya apabila hospital kerajaan dan swasta masing-masing menerima jumlah pesakit tinggi.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang melihat keperluan menambah lagi fasiliti kesihatan termasuk hospital awam di beberapa kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat.

"Keperluan hospital awam tetap ada dan akan terus dipertingkatkan termasuk menaik taraf pusat kesihatan supaya boleh menyediakan kemudahan katil bagi memenuhi keperluan semasa," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, rangkaian hospital swasta di Selangor turut membuka peluang besar kepada sektor pelancongan kesihatan negeri itu.

Menurutnya, sebelum ini sektor pelancongan kesihatan lebih tertumpu di Pulau Pinang namun Selangor kini muncul sebagai destinasi baharu susulan kewujudan banyak hospital swasta berkualiti selain kedudukan strategik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang.

"Kos rawatan kita masih jauh lebih murah berbanding beberapa negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

"Pada masa sama, tahap keyakinan terhadap ekosistem kesihatan dan sistem perubatan swasta kita juga tinggi," ujar beliau.

Beliau berkata, pengalaman pandemik Covid-19 membuktikan hospital swasta memainkan peranan penting membantu kerajaan termasuk dalam program vaksinasi dan rawatan pesakit.

Sementara itu, beliau memaklumkan kos pembangunan keseluruhan SSH Rawang termasuk infrastruktur dan bangunan mencecah kira-kira RM148 juta.

Katanya, hospital itu dibina dengan kapasiti 224 katil selain turut dilengkapi peralatan dan sistem operasi secara berperingkat.

Menurut Amirudin, antara kelebihan SSH Rawang ialah penggunaan aplikasi Selangkah yang memudahkan proses pendaftaran serta pengurusan pesakit secara digital.

Mengulas lanjut, katanya, integrasi sistem Selangkah bakal menghubungkan rangkaian hospital dan klinik Selgate bagi membolehkan rekod kesihatan pesakit disimpan secara berpusat.

"Latar belakang dan sejarah perubatan pesakit akan direkodkan secara berpusat dan itu adalah digitalisasi ekosistem kesihatan," tambah beliau.