Permintaan kukuh dorong pemulihan pasaran pejabat Kuala Lumpur - Knight Frank

29/04/2025 - 15:45
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 April - Pasaran pejabat utama di Kuala Lumpur menunjukkan prestasi yang semakin kukuh pada 1Q25, walaupun kadar kekosongan masih tinggi iaitu sebanyak 24.6 peratus.
Pengarah Eksekutif Kanan Strategi dan Penyelesaian Pejabat Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean berkata, kadar sewa pejabat kekal stabil pada RM6.01 sekaki persegi sebulan, sama seperti suku lepas, menunjukkan pasaran masih kukuh walaupun ekonomi global tidak menentu.
Jelas beliau, tahap penghunian semakin baik, didorong oleh pengembangan syarikat teknologi dan syarikat multinasional yang menjadikan Malaysia sebagai hab serantau.
"Penurunan kadar kekosongan sejak suku keempat 2023 menunjukkan pasaran pejabat semakin pulih dan lebih stabil.
"Pengisian ruang pejabat yang baik menjadikan Kuala Lumpur bukan lagi bandar raya dengan kadar kekosongan pejabat tertinggi di Asia Pasifik, dipacu keadaan politik dan ekonomi yang stabil," katanya berdasarkan laporan Indeks Sewa Pejabat Utama Asia Pasifik Knight Frank.
Laporan sama menunjukkan perkembangan pasaran pejabat di Kuala Lumpur seiring dengan trend di Asia Tenggara, di mana permintaan semakin tertumpu kepada bangunan baharu yang lengkap dengan kemudahan moden.
Perkembangan tersebut membantu mengimbangi jurang antara bekalan dan permintaan.
Walaupun kadar kekosongan di Kuala Lumpur masih antara yang tertinggi di Asia Pasifik, kestabilan suku ke suku memberi isyarat pasaran mungkin memasuki fasa pemulihan.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, Kuala Lumpur berada dalam kedudukan baik untuk menyokong perubahan strategi tempat kerja, termasuk model kerja hibrid dan keperluan penjimatan kos.
Beliau berkata, Knight Frank terus bekerjasama rapat dengan penyewa bagi membantu mereka menyesuaikan strategi dan memaksimumkan nilai hartanah dalam pasaran yang kini menawarkan banyak peluang.
Ketua Global Strategi dan Penyelesaian Penyewa Knight Frank, Tim Armstrong pula berpendapat, dalam suasana ekonomi dan perdagangan yang tidak menentu, syarikat semakin menumpukan kepada daya tahan, kecekapan ruang dan nilai jangka panjang.
"Pendekatan ini mendorong minat terhadap model sewaan fleksibel dan ruang kerja yang lebih bersesuaian dengan keperluan semasa," ujarnya.
Knight Frank menasihatkan penyewa supaya mengambil peluang semasa untuk menaik taraf atau menyusun semula ruang mereka, memandangkan perubahan ekonomi dan geopolitik terus mempengaruhi keutamaan penyewa.
Katanya, fleksibiliti, nilai dan kualiti kini menjadi fokus utama.
Laporan berkenaan menyebut, sektor pejabat di Malaysia dijangka kekal stabil dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Persekitaran pasaran masih memihak kepada penyewa, walaupun pertumbuhan sewa dijangka sederhana disebabkan oleh lebihan bekalan dan perubahan keperluan tempat kerja," jelasnya.
Kuala Lumpur mencatat pertumbuhan sewa tahunan sebanyak 2.6 peratus dan kenaikan suku tahunan sebanyak 0.8 peratus, menunjukkan pemulihan secara perlahan tetapi konsisten.
Dalam masa terdekat, penyewa dijangka terus memilih bangunan berkualiti tinggi, manakala pemilik bangunan pula dijangka meningkatkan kemudahan dan ciri kemampanan bagi kekal bersaing dalam pasaran yang semakin sengit. - DagangNews.com
standard
