Samenta seru kerajaan laksana pembaharuan tenaga kerja secara berperingkat

LocalBusiness & Finance
29 Apr 2025 • 12:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Samenta seru kerajaan laksana pembaharuan tenaga kerja secara berperingkat

image is not available

29/04/2025 - 12:56

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 29 April - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan supaya melaksanakan pembaharuan tenaga kerja secara berperingkat bagi memastikan kelangsungan perusahaan kecil & sederhana (PKS), yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, walaupun pelbagai inisiatif kerajaan seperti model gaji berperingkat, peluasan perlindungan keselamatan sosial dan program peningkatan kemahiran menunjukkan komitmen untuk memperkasa tenaga kerja, pelaksanaannya yang terlalu pantas boleh memberi kesan negatif kepada PKS.

"PKS menyumbang 38% kepada KDNK negara dan menyediakan hampir separuh daripada jumlah pekerjaan.

"Namun, peningkatan kos pematuhan dan beban pentadbiran akibat pelaksanaan perubahan secara mendadak memberi tekanan besar kepada sektor ini," menurut beliau dalam satu kenyataan.

image is not available
Datuk William Ng

Ng berkata, kadar pelaksanaan pembaharuan tenaga kerja di Malaysia antara yang terpantas di ASEAN dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura yang mengambil pendekatan beransur-ansur.

Jelasnya, Singapura sebagai contoh memperkenalkan beberapa usaha seperti Majlis Gaji Kebangsaan sejak 1972 dan Program SkillsFuture pada 2015, dengan setiap pelan diberi masa yang cukup untuk disesuaikan oleh perniagaan.

"Kita tidak boleh melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat. Perubahan tenaga kerja yang mengambil masa 40 tahun perlu dirancang dengan teliti dan memberi masa yang cukup untuk penyesuaian," jelas Ng.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan mengadakan rundingan lebih menyeluruh dengan pihak industri serta menyediakan sokongan yang mencukupi seperti program peningkatan produktiviti, automasi dan pembangunan kapasiti bersasar.

"Sempena Hari Pekerja ini, marilah kita bersama-sama membina masa depan di mana pekerja dan PKS dapat berkembang demi kemakmuran rakyat Malaysia," tambah beliau. - DagangNews.com

standard