Permintaan rendah jadi punca AirAsia X hentikan penerbangan ke Nairobi

LocalTravel
5 May 2025 • 10:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permintaan rendah jadi punca AirAsia X hentikan penerbangan ke Nairobi

image is not available

05/05/2025 - 10:55

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Mei — Tidak sampai pun setahun diperkenalkan, laluan penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur terus ke ibu kota Kenya, Nairobi terpaksa dihentikan ekoran permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan.


Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata, pemberhentian itu bermula 1 September 2025 dengan turut memberi alasan langkah berkenaan sebagai sebahagian daripada inisiatif pengoptimuman rangkaian.


Bagaimanapun katanya, ia telah memaklumkan kepada semua pelanggan yang terjejas mengenai pilihan pemulihan perkhidmatan (SRO) untuk tempahan di laluan itu bagi perjalanan mulai tarikh tersebut dan seterusnya.


"SRO termasuk bayaran balik penuh, akaun kredit, atau pertukaran penerbangan percuma untuk tempahan sebelum 31 Ogos 2025 - bertujuan membantu perancangan perjalanan alternatif," katanya menerusi platform AirAsia MOVE.


AirAsia X menambah, ia terus mengkaji permintaan rangkaian dan pengguna, serta akan membuat pelarasan dari semasa ke semasa untuk memastikan daya maju komersial selain memberikan nilai terbaik di seluruh jaringannya.


Operator tersebut mula melancarkan penerbangan terus sulungnya dari Kuala Lumpur ke Nairobi pada 15 November 2024 yang turut menandakan kemasukan trip pertama syarikat tempatan berkenaan ke rantau Afrika Timur.


Laluan komersial itu beroperasi sebanyak empat kali seminggu dan kekal sebagai satu-satunya penghubung udara terus antara Malaysia dan Afrika dengan promosi tambang sehala daripada serendah RM699. - DagangNews.com

standard