AirAsia X tambah penerbangan ke Almaty, Kazakhstan susulan permintaan tinggi

LocalTravel
22 Apr 2025 • 2:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia X tambah penerbangan ke Almaty, Kazakhstan susulan permintaan tinggi

image is not available

22/04/2025 - 14:25

Gambar/AirAsia Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Syarikat penerbangan kos rendah jarak sederhana, AirAsia X Bhd, akan menambah kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Almaty, Kazakhstan kepada lima kali seminggu bermula suku akan datang, susulan permintaan yang semakin meningkat.

AirAsia X merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan laluan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty.

Syarikat itu berkata, penambahan berkenaan menyediakan hampir 27,000 tempat duduk untuk laluan tersebut.

"Sejak pelancaran laluan ini pada Mac tahun lalu, kami telah menerbangkan lebih 100,000 penumpang antara Kuala Lumpur dan Almaty, membuktikan potensi besar laluan ini untuk sektor pelancongan dan perdagangan," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail dalam satu kenyataan.

AirAsia X memaklumkan, laluan tersebut kekal mencatatkan kadar muatan penumpang sekitar 90% sejak mula beroperasi pada 14 Mac 2024.

Selain itu, AirAsia X juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pihak pelancongan Almaty untuk memperkukuh aliran pelancong antara Malaysia dan Kazakhstan, sambil mempromosikan Almaty sebagai destinasi pilihan pelancong dari Asia Tenggara, khususnya Malaysia, Singapura dan Indonesia.

"Dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, negara kita berada dalam kedudukan baik untuk memacu pertumbuhan serantau dan jaringan hubungan yang lebih luas.

"Kerjasama dengan Kazakhstan bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi dua hala, malah membuka peluang di pasaran baharu Asia Tengah," tambah Benyamin.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, kerjasama berkenaan juga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan ketibaan 45 juta pelancong dan RM270 bilion hasil pelancongan menjelang 2026.

"Kazakhstan kekal sebagai antara pasaran pelancongan penting yang sedang berkembang di rantau ini dan kami komited untuk memperkukuh kerjasama ini," ujarnya.

Melalui sambungan Fly-Thru AirAsia, penumpang dari Almaty boleh transit di Kuala Lumpur untuk meneruskan perjalanan ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia Pasifik termasuk Pulau Pinang, Langkawi, Bali dan Bangkok.

Pelancong dari rantau ini juga boleh ke Almaty dengan mudah melalui transit singkat di Kuala Lumpur. - DagangNews.com

standard