Permintaan ternakan korban di Pulau Pinang meningkat hampir 45 peratus

25 May 2026 • 6:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Permintaan ternakan korban di Pulau Pinang meningkat hampir 45 peratus
Ternakan lembu menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban. - Gambar hiasan imej janaan AI

GEORGE TOWN - Permintaan ternakan bagi tujuan ibadah korban di Pulau Pinang tahun ini meningkat sebanyak 44.72 peratus berbanding tahun lalu susulan pertambahan penyertaan masyarakat dalam pelaksanaan ibadah berkenaan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, sebanyak 6,107 ekor ternakan direkodkan terlibat dalam aktiviti korban pada tahun 2026 berbanding 4,220 ekor pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1,887 ekor.

Menurutnya, permintaan ternakan bagi tujuan ibadah korban tahun ini dianggarkan berdasarkan permohonan Permit Sembelihan Luar (PSL) yang diterima daripada masjid, surau, badan korporat serta penganjur korban di seluruh negeri.

“Sehingga kini, sebanyak 1,398 PSL telah dikeluarkan bagi tahun 2026 berbanding 1,057 permit pada tahun 2025, menunjukkan peningkatan sebanyak 341 permit atau 32.26 peratus.

“Peningkatan ini menggambarkan pertambahan penyertaan masyarakat serta peningkatan pelaksanaan ibadah korban di Pulau Pinang pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, daripada keseluruhan ternakan yang direkodkan, sebanyak 5,476 ekor adalah lembu, 26 kerbau, 542 kambing, 57 bebiri serta enam ekor unta.

Katanya, permintaan tinggi khususnya melibatkan ternakan lembu menunjukkan haiwan itu masih menjadi pilihan utama masyarakat bagi pelaksanaan ibadah korban.

“Ia disebabkan faktor kesesuaian agihan, kapasiti penyertaan peserta korban serta faktor ekonomi semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Saira berkata, bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban di negeri ini melibatkan ternakan tempatan serta ternakan import.

Menurutnya, pengimportan ternakan dilaksanakan sebagai langkah menstabilkan bekalan dan menampung peningkatan permintaan semasa musim Aidiladha khususnya apabila pengeluaran ternakan tempatan tidak mencukupi.

“Antara faktor yang mempengaruhi kekurangan bekalan ternakan tempatan termasuk peningkatan kos makanan ternakan, kenaikan kos operasi ladang, kekangan kawasan penternakan, pengurangan bilangan penternak aktif serta cabaran penyakit haiwan tertentu yang boleh menjejaskan kadar pengeluaran dan produktiviti ternakan,” katanya.

Tambah beliau, selain lembu dan kerbau, ibadah korban di Pulau Pinang turut melibatkan kambing, bebiri dan unta.

“Bagi tahun 2026, sebanyak enam ekor unta direkodkan terlibat dalam aktiviti korban di daerah Timur Laut sekali gus menunjukkan kepelbagaian pilihan ternakan bagi pelaksanaan ibadah korban di negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Saira berkata, pelaksanaan PSL penting bagi memastikan aktiviti korban dilaksanakan mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan termasuk aspek kesihatan veterinar, kebajikan haiwan, kebersihan tempat sembelihan dan keselamatan makanan.

Katanya, permit itu juga membantu memastikan ternakan yang digunakan bagi tujuan korban berada dalam keadaan sihat dan sesuai untuk disembelih.

“Pemantauan oleh pegawai veterinar dan pemeriksa daging yang dilantik turut memastikan pemeriksaan 'ante-mortem' dan 'post-mortem' dilaksanakan dengan sempurna supaya daging korban yang diagihkan kepada masyarakat selamat dimakan serta bebas daripada penyakit zoonotik dan pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

"Semua penganjur korban dinasihatkan supaya mendapatkan PSL daripada jabatan itu serta memastikan pengurusan haiwan dan sisa sembelihan dilaksanakan secara teratur, bersih dan mematuhi syarat yang ditetapkan demi kesejahteraan awam dan kelestarian persekitaran," ujarnya.