Permintaan tinggi projek Siri M lonjak jualan Mah Sing kepada RM1.15 bilion pada 1HFY25

28/08/2025 - 14:31
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Jualan hartanah Mah Sing Group Berhad pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) naik 12.4% kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.02 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong kejayaan projek Siri M.
Kumpulan itu berkata, jualan hartanah yang lebih tinggi itu turut mendorong hasil kumpulan bagi 1HFY25 kepada RM1.22 bilion, meningkat daripada RM1.14 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM132.06 juta berbanding RM120.26 juta pada 1HFY24.
Dari segi segmen, keuntungan operasi daripada perniagaan pembangunan hartanah adalah sebanyak RM211.5 juta dengan hasil berjumlah RM983.8 juta.
Sementara itu, segmen pembuatan kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM222.2 juta, iaitu peningkatan 10.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), keuntungan bersih Mah Sing naik kepada RM66.02 juta berbanding RM60.21 juta pada suku sama tahun lalu, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.58 sen daripada 2.37 sen sebelum ini.
Hasil pada suku tersebut ialah RM565.92 juta berbanding RM578.39 juta pada suku yang sama tahun lalu.
"Permintaan kukuh ini dapat dilihat melalui pelancaran terkini dan pendaftaran minat seperti di M Legasi, Semenyih, di mana Fasa 1A dan 1B rumah teres dua tingkat Impira mencatatkan kadar langganan melebihi 80%, serta M Grand Minori.
"Ia turut didorong pembangunan bercampur kediaman dan komersial di Taman Pelangi, Johor Bahru, dengan Fasa 1 Menara A apartmen servis mencapai kadar langganan 90%," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu yakin dapat mencapai sasaran minimum jualan tahunan penuh sebanyak RM2.65 bilion, dengan jangkaan jualan yang secara tradisinya lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, disokong oleh pelancaran baharu hartanah bernilai RM1.85 bilion serta momentum jualan berterusan daripada projek yang telah dilancarkan.
Ia menambah bahawa jualan belum dibil pada akhir Jun 2025 berjumlah RM2.91 bilion.
“Dengan kedudukan kukuh dalam segmen perumahan mampu milik melalui pembangunan Siri M, yang dilengkapi dengan Siri Premium M Grand, kumpulan yakin dapat menyampaikan keuntungan mampan bagi FY25.
"Kumpulan turut meningkatkan pelaburan dalam sektor pusat data yang sedang berkembang pesat di Malaysia, dengan cadangan pembangunan tapak berkeluasan 60.7 hektar berkapasiti 500 MW di Southville City, Bangi, serta potensi fasiliti berkapasiti 300 MW di Meridin East, Johor Bahru.
“Portfolio pusat data dijangka meningkatkan pendapatan jangka panjang melalui hasil berulang dan peluang penjanaan nilai,” katanya. - DagangNews.com
featured standard
