
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman mencabar pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Hakim Norliza Othman memutuskan selepas mendapati pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd memenuhi kehendak Seksyen 5(1)(e) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695), yang menetapkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan boleh dilantik Perdana Menteri sebagai anggota JAC bagi tempoh dua tahun.
Dalam penghakimannya, Norliza berkata, peruntukan berkenaan jelas kerana hanya menetapkan dua syarat iaitu individu berkenaan mestilah hakim Mahkamah Persekutuan dan pelantikan dibuat oleh Perdana Menteri.
“Badan Peguam sendiri mengakui kedua-dua syarat itu dipenuhi, namun meminta mahkamah memasukkan syarat tambahan yang tidak dinyatakan dalam undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, pada Jun lalu Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Peguam Negara menghujahkan bahawa Seksyen 5(1)(e) Akta JAC menetapkan hanya dua syarat bagi seseorang ahli JAC, iaitu individu itu mesti seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan pelantikan hendaklah dibuat oleh Perdana Menteri.
Sementara, peguam Steven Thiru, yang mewakili Badan Peguam pula berhujah bahawa cabaran badan itu membabitkan komposisi JAC, yang berkaitan dengan pelaksanaan kuasa-kuasa statutori.
Permohonan tersebut difailkan pada 12 Februari lalu dengan Badan Peguam selaku pemohon menamakan Ahmad Terrirudin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, JAC dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat
Menurut permohonan yang difailkan, Badan Peguam memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Perdana Menteri melantik Ahmad Terrirudin sebagai anggota JAC dan perisytiharan bahawa keputusan pelantikan itu adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
Pemohon juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Perdana Menteri melaksanakan prerogatif melantik seorang anggota JAC kelima selaras dengan peruntukan undang-undang Malaysia dan Akta JAC.
Badan Peguam turut memohon perintah mandamus yang memerintahkan responden ketiga iaitu JAC untuk menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan terhadap Ahmad Terrirudin dan keputusan RCI itu didedahkan kepada umum.
Turut dimohon adalah perintah mandamus memerintahkan JAC mengeluarkan, memberikan atau mendedahkan sesalinan minit mesyuaratnya yang telah diadakan pada 16 Mei lalu kepada Badan Peguam dalam tempoh tujuh hari dari tarikh permohonan kebenaran dibenarkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan Badan Peguam cabar pelantikan Terrirudin dalam JAC ditolak appeared first on Kosmo Online.






