Bekas CEO GISBH dapat pasport lawat isteri keempat bersalin di Mekah

5 Oct 2026 • 3:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bekas CEO GISBH dapat pasport lawat isteri keempat bersalin di Mekah

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali, 67, dibenarkan mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan dia ke Mekah menemani isteri keempatnya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, yang dijangka bersalin bulan ini.

Permohonan itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Fatimah Zahari, selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan dikemukakan Nasiruddin Mohd. Ali, 67 yang hadir berkerusi roda melalui Peguam Datuk Rosli Kamaruddin.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pasport tersebut perlu diserahkan semula sebelum atau pada 10 November ini, selaras dengan syarat ditetapkan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul.

Pada prosiding itu, Rosli memaklumkan permohonan berkenaan dibuat bagi membolehkan anak guamnya melawat isterinya yang mengalami masalah kesihatan dan dijangka melahirkan anak di Hospital Muhammad Salleh Basharahil di Mekah.

Menurutnya, isterinya dijangka bersalin pada 8 atau 9 Oktober ini.

Katanya, tarikh perjalanan belum dapat ditetapkan kerana Nasiruddin hanya akan membeli tiket penerbangan selepas permohonan pengembalian pasport diluluskan.

“Hospital di Mekah memaklumkan bahawa kelahiran itu akan melalui pembedahan dan memerlukan keizinan pemohon.

“Sebaik mendapat pasport, pemohon akan terus membeli tiket penerbangan sebelum menyelesaikan urusan di Jabatan Imigresen berhubung sekatan yang dikenakan terhadap pasport,” katanya.

Rosli berkata, anak guamnya dan isterinya sebelum ini bertolak ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Bagaimanapun, Nasiruddin kemudiannya pulang ke Malaysia manakala isterinya kekal di Mekah.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan representasi
Nasiruddin bersama tiga bekas akauntan GISBH mengugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh keputusan representasi baharu dikemukakan pihak pembelaan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 26, 27 dan 28 April; 28, 29 dan 30 Jun serta 6 dan 8 Julai tahun depan. – KOSMO! ONLINE

The post Bekas CEO GISBH dapat pasport lawat isteri keempat bersalin di Mekah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved