Permohonan Bazar Ramadan MPAJ dibuka bermula hari ini

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2024 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
16 lokasi disediakan MPAJ untuk bazar ramadan di bawah seliaan pentadbirannya.

AMPANG - Permohonan bagi permit Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025 dibuka bermula Isnin sehingga 29 November depan.

MPAJ memaklumkan, sebanyak 884 petak di 16 lokasi disediakan.

Menurutnya, terdapat tiga jenis lesen ditawarkan iaitu Lesen Sementara Bazar Ramadan (LSBR), Lesen Sementara Bazar Ramadan Elit (LSBRE) dan Permit Sementara Bazar Ramadan (PSBR).

"Bagi permohonan LSBR dan LSBRE boleh dibuat melalui sistem e-penjaja di pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php.

"Bagi jualan di lokasi selain daripada lokasi Bazar Ramadan yang ditetapkan oleh MPAJ, peniaga perlu membuat permohonan PSBR," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, pemilihan lokasi PSBR perlulah bersesuaian dan tidak menimbulkan kacau ganggu terutamanya pada laluan trafik dan sebagainya.

Ujarnya, kesesuaian lokasi yang dimohon akan dinilai terlebih dahulu oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ sebelum diluluskan.