Permohonan Jadi Pemerhati PRU-15 Dibuka Bermula Hari Ini - SPR

Politics
11 Oct 2022 • 12:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar fail AFP

KUALA LUMPUR - Permohonan sebagai pemerhati bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 21 Oktober.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi serta penjumlahan undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.

“SPR mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang permohonan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Dengan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama