Permohonan pembiayaan TEKUN Nasional kini 100% dalam talian, kelulusan disasar seawal lima hari

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Permohonan pembiayaan TEKUN Nasional kini 100% dalam talian, kelulusan disasar seawal lima hari Image from: Permohonan pembiayaan TEKUN Nasional kini 100% dalam talian, kelulusan disasar seawal lima hari amree07/08/2026 - 15:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Usahawan mikro dan kecil kini tidak lagi perlu hadir ke pejabat TEKUN Nasional untuk memohon pembiayaan dengan proses tersebut boleh dibuat sepenuhnya dalam talian.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah penting tersebut dijangka dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan akses kepada modal perniagaan.

 

Sistem Permohonan TEKUN Online yang dilancarkan hari ini membolehkan usahawan mendaftar akaun, mengisi maklumat perniagaan, memuat naik dokumen serta menghantar permohonan secara digital.

 

"Sistem itu mula diuji menerusi projek rintis di Kuala Lumpur pada Julai 2026 sebelum diperluaskan ke beberapa negeri, dengan sambutan positif daripada komuniti usahawan," katanya dalam kenyataan.

 

Setakat ini ujar beliau, seramai 1,624 usahawan sudah mengemukakan permohonan mereka dalam talian, manakala sebanyak 215 permohonan melibatkan pembiayaan bernilai RM6.6 juta telah diluluskan.

 

Menurut Sim, pelancaran itu merupakan kali pertama dalam hampir 30 tahun sejarah TEKUN Nasional, permohonan pembiayaan ditawarkan sepenuhnya secara digital kepada usahawan di seluruh negara.

 

Tekun_DagangNews2026

 

Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja memberi penekanan kepada jumlah pembiayaan yang disalurkan, malah mahu memastikan penyampaian perkhidmatan menjadi lebih pantas, mudah dan mesra usahawan.

 

"Sepanjang 2026, agensi ini menyalurkan lebih RM700 juta kepada hampir 31,000 usahawan, dengan 43% atau 13,283 penerima ialah pembiayaan kali pertama, yang melibatkan hampir RM260 juta," jelasnya.

 

Dalam usaha mempercepatkan proses permohonan kata Sim, tempoh kelulusan pembiayaan yang di bawah RM100,000 sudah dipendekkan kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.

 

Malah, sebanyak 74.5% daripada pembiayaan diluluskan tahun ini diproses dalam tempoh satu hingga lima hari, selaras pelan penambahbaikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

TEKUN Nasional kini menyasarkan tempoh kelulusan dan penyaluran pembiayaan dapat dipendekkan lagi kepada hanya lima hari, selain dalam masa 24 jam bagi prakelulusan pembiayaan sehingga RM20,000

 

Pada majlis itu, TEKUN Corporation Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) bagi meneroka kerjasama dalam sektor tertentu.

 

Kedua-duanya turut memeterai kontrak pengurusan serta pemulihan kredit bernilai hampir RM70 juta yang dijangka memperkukuh ekosistem perniagaan dan koperasi negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved