
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Ogos ini bagi keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan bayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan Global Royalty Trading SAL.
Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua belah pihak.
Dalam prosiding hari ini, Rosmah diwakili peguam Reza Rahim manakala syarikat barang kemas itu diwakili peguam Venothani Raja Gopal.
Pada 10 Jun lalu, Rosmah diperintah membayar sebanyak RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL berhubung kehilangan 43 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri Perdana Menteri itu.
Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan syarikat itu selaku plaintif terhadap Rosmah, 75, selaku defendan dalam kes saman itu.
Mahkamah turut memerintahkan, ganti rugi itu perlu dibayar Rosmah dalam tempoh sebulan bermula tarikh penghakiman selain Rosmah perlu membayar kos sebanyak RM150,000 yang mana RM75,000 kepada plaintif manakala RM75,000 lagi kepada pihak ketiga.
Hakim Chew Soon itu ketika membacakan penghakimannya, berkata, mahkamah mendapati terdapat prima facie bahawa Rosmah gagal memulangkan barangan kemas berkenaan kepada syarikat itu dan ia adalah bukti kecuaian selain Rosmah gagal membuktikan dakwaan bahawa kesemua 43 barang kemas tersebut telah disita.
Dalam pada itu, hakim turut menolak tuntutan Rosmah terhadap pihak ketiga iaitu Ketua Polis Negara dan kerajaan, berhubung dakwaannya bahawa barang kemas yang hilang itu telah disita ketika serbuan polis yang berkaitan dengan siasatan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun 2018.
Menurut Chew Soon dalam kes saman itu, Rosmah menegaskan barangan kemas itu diserahkan kepadanya untuk dilihat di mana pengaturan itu adalah suatu konsainan.
Hakim itu berkata, Rosmah juga menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kewajipan untuk membeli barang kemas terbabit dan ia bukan miliknya serta telah disita pihak berkuasa.
Katanya, keaslian nota konsainan tidak pernah dipertikaikan dalam prosiding terdahulu, sebaliknya Rosmah sendiri telah bergantung dan merujuk kepadanya sebagai sebahagian daripada kedudukan yang dipohon dan juga keterangannya.
Global Royalty memfailkan saman AS$14.57 juta saman terhadap Rosmah berkaitan kehilangan lebih 40 unit barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada Rosmah.
Sebelum ini, pada hari pertama perbicaraan 13 April lalu, mahkamah telah mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.
Rosmah Ketika memberi keterangan menafikan beliau mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan itu.
Katanya, sepanjang tempoh berkaitan, beliau telah mengambil langkah berwaspada dalam menjaga barang kemas terbabit dengan niat untuk memulangkannya kepada Samer Hassib apabila diminta dalam keadaan asal seperti barang kemas itu diterima. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan Rosmah tangguh bayar RM67.5 juta diketahui 12 Ogos appeared first on Kosmo Digital.





