Kes RM84.64 juta Protasco, mahkamah tetapkan 18 Ogos bagi prosiding muflis 2 bekas pengarah

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 10:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kes RM84.64 juta Protasco, mahkamah tetapkan 18 Ogos bagi prosiding muflis 2 bekas pengarah Image from: Kes RM84.64 juta Protasco, mahkamah tetapkan 18 Ogos bagi prosiding muflis 2 bekas pengarah johardy03/08/2026 - 10:45 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 18 Ogos 2026 sebagai tarikh pendengaran bersama petisyen pemiutang yang difailkan oleh Protasco Berhad terhadap dua bekas pengarahnya, Tey Por Yee dan Ooi Kock Aun, serta permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding muflis.

 

Tarikh baharu itu menggantikan pendengaran yang sebelum ini dijadualkan pada 30 Julai, menurut makluman Protasco kepada Bursa Malaysia.

 

Kedua-dua bekas pengarah berkenaan memohon supaya prosiding muflis digantung sementara menunggu keputusan permohonan mereka mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

 

 

 

 

Pendengaran pada 18 Ogos akan menentukan sama ada prosiding muflis terhadap mereka perlu ditangguhkan sementara Mahkamah Persekutuan mempertimbangkan permohonan kebenaran merayu tersebut.

 

Tindakan muflis itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi mengarahkan Tey dan Ooi membayar RM84.64 juta kepada Protasco berhubung kerugian daripada pelaburan minyak dan gas yang gagal di Indonesia.

 

Kes itu berpunca daripada pelaburan Protasco dalam PT Anglo Slavic Indonesia, yang memiliki kepentingan dalam konsesi minyak dan gas di Aceh, Indonesia.

 

Pelaburan minyak dan gas di Aceh

Protasco sebelum ini mendakwa syarikat itu dipengaruhi untuk melabur selepas diberi gambaran bahawa projek berkenaan akan memperoleh lanjutan jangka panjang bagi hak pengeluaran minyak dan gas, selain saham dalam sebuah lagi syarikat Indonesia didakwa mencukupi sebagai jaminan kepada pelaburan tersebut.

 

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa Tey dan Ooi secara rahsia mengawal PT Anglo Slavic Utama, PT Anglo Slavic Indonesia serta beberapa entiti berkaitan, namun gagal mendedahkan kepentingan mereka ketika masih berkhidmat sebagai pengarah Protasco.

 

Mahkamah turut mendapati kedua-duanya menyebabkan dana sebanyak AS$27 juta yang dibayar oleh Protasco dialihkan melalui beberapa syarikat di bawah kawalan mereka.

 

 

 

 

 

 

Susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Protasco, syarikat itu memfailkan petisyen pemiutang bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman RM84.64 juta daripada kedua-dua bekas pengarah tersebut.

 

Sekiranya Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pada 18 Ogos nanti, prosiding muflis akan digantung sementara sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada permohonan kebenaran merayu oleh Tey dan Ooi boleh diteruskan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved