Permohonan Tamim Dahri sertai PKR dibimbangi cetus persepsi negatif - Wei Kiat

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Wei Kiat (kiri) dan Tamim Dahri

SHAH ALAM - Permohonan aktivis tanah, Tamim Dahri untuk menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikhuatiri memberi mesej yang salah kepada masyarakat sekiranya diterima parti berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kemasukan individu yang dikaitkan dengan pendekatan ekstrem dalam isu agama boleh menjejaskan imej parti yang selama ini berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keterangkuman.

Menurutnya, langkah menerima individu sedemikian juga seolah-olah memberi gambaran bahawa parti itu mengalu-alukan pendekatan keras dalam menangani isu berkaitan agama dan kaum.

“Jika permohonan itu diterima, ia memberi mesej salah kepada masyarakat umum bahawa PKR membuka ruang kepada golongan ekstrem dalam menangani isu melibatkan agama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wei Kiat berkata, sempena ulang tahun ke-18 peristiwa yang sering dikaitkan dengan kebangkitan politik rakyat pada 8 Mac 2008, PKR mampu berkembang kerana berpegang teguh kepada prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan dalam masyarakat majmuk.

Beliau berkata, pada ketika itu ramai meragui kemampuan PKR kerana realiti politik dilihat lebih memihak kepada parti yang memainkan sentimen agama dan kaum secara keras.

“Ramai menonjolkan diri sebagai wira bangsa dan agama bagi meraih sokongan pengundi kaum tertentu, namun PKR memilih jalan tengah dengan pendekatan mendamaikan semua pihak atas semangat persaudaraan sesama manusia,” jelasnya.

Wei Kiat berkata, pendekatan itu akhirnya membuahkan hasil apabila parti berkenaan melonjak daripada satu kerusi Parlimen pada 2004 kepada 31 kerusi pada 2008 selain berjaya membentuk kerajaan di lima negeri bersama rakan sekutu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PKR tidak seharusnya mengkhianati idealisme yang dipegang sejak sekian lama lebih-lebih lagi ketika berada dalam kerajaan.

Katanya, tindakan yang dilihat menyokong perobohan rumah ibadat tanpa melalui prosedur undang-undang juga boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum.

“Ini masanya PKR menggilap semula imej parti ketika ada pihak menyindir semangat reformasi semakin malap.

“Kita perlu menyampaikan mesej jelas bahawa PKR kekal dengan garis politik kesederhanaan, keterangkuman dan keadilan tanpa memberi ruang kepada provokasi atau sentimen sempit kaum dan agama,” tambahnya.