Mahkamah batalkan perintah reman, Tamim Dahri dan tiga rakan bebas serta-merta

LocalPolitics
12 Feb 2026 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mahkamah membatalkan perintah reman terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, membatalkan perintah reman selama dua hari yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Selayang terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.

Selain Tamim Dahri, 59, tiga lagi individu lain selaku pemohon ialah Muhammad Zulfahmi Zulkifli, 39, Muhammad Heiqal Jaafar, 26, dan Muhammad Azali Abdul Razak, 29.

Menerusi dokumen yang diperoleh, Hakim, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakan pihak pemohon.

"Perintah reman oleh mahkamah rendah bertarikh 12 Februari lalu diketepikan dan semua pemohon dibebaskan serta merta," katanya semasa prosiding pendengaran permohonan semakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin hadir selaku responden.

Sementara peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff hadir (pihak Tamim Dahri) bersama peguam, Ahmad Khalil Md Rofiee dan Aidil Khalid (pihak Muhammad Zulfahmi), peguam, Danial Farhan Zainul Rijal (Muhammad Heiqal) serta peguam, Nur Shafiqah Shafiyah Omar (Muhammad Azali).

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook, Aidil Khalid berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah bersedia memanggil kes berkenaan untuk semakan semula.

"Mahkamah memerintahkan mereka dilepaskan serta-merta," katanya yang juga peguam Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah).

Sebelum ini, Tamim Dahri bersama tiga rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi Rabu.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 295 kerana mencemarkan tempat ibadat.

Tangkapan dipercayai dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik sebuah kuil di atas tanah berkenaan.

Setakat ini, mereka masih belum dimaklumkan sama ada siasatan turut dijalankan terhadap dakwaan pencerobohan tanah yang dikemukakan oleh pihak Yayasan Kubra sebelum ini.

Sebelum ini media diberitahu, kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.

Dalam pada itu, Aidil berkata, yayasan berkenaan telah mengeluarkan notis kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah berkenaan serta membuat laporan polis sejak notis diserahkan, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Katanya, yayasan juga pernah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan, namun diminta menguruskan perkara tersebut sendiri.

Pada Isnin, Tamim Dahri bersama seorang lagi aktivis, Zamri Vinoth ditahan reman selama dua hari, iaitu sehari selepas Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang diadakan di depan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.