Permohonan UPKO sertai GRS dipertimbang dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi - Armizan

LocalPolitics
7 Jun 2026 • 12:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Permohonan UPKO sertai GRS dipertimbang dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi - Armizan
Armizan bercakap kepada pemberita di Kota Kinabalu pada Ahad.

KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Permohonan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dibawa untuk dipertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan tersebut.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini pihaknya sedang membuat kertas pertimbangan untuk dibentangkan dalam mesyuarat tersebut pada 18 Jun ini.

"UPKO telah mengemukakan permohonan rasmi menjadi salah satu parti dalam GRS pada 29 Mei lalu dan permohonan diserahkan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

"Sebagai Setiausaha Agung GRS, saya sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pengurusan UPKO untuk mendapatkan maklumat tambahan bagi saya menyediakan kertas pertimbangan untuk diangkat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang djadualkan pada 18 Jun ini.

"Saya sedang berusaha memastikan kertas pertimbangan itu dapat dibentangkan supaya keputusan dapat dibuat dalam mesyuarat tersebut," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

Beliau sebelum itu diminta mengulas mengenai perkembanga berkaitan permohonan UPKO yang ingin menyertai GRS baru-baru ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pihaknya melihat hasrat UPKO itu sebagai perkembangan positif dalam usaha menggabungkan parti-parti tempatan di bawah satu payung di Sabah.

"Kita melihat dua perkara, keikhlasan pihak UPKO iaitu sejak pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sabah yang lalu, UPKO secara sukarela telah memberikan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji sebagai Ketua Menteri.

"Selain itu, UPKO bukan parti baharu, mereka mempunyai legasi perjuangan yang panjang dalam konteks memelihara hak dan kepentingan negeri.

"Paling penting, UPKO perlu komited dan berpegang kepada empat teras perjuangan GRS: Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, dan Sabah United. Jadi, saya sedang kumpulkan maklumat seperti jumlah cawangan, bahagian, dan keahlian UPKO untuk penilaian Majlis Tertinggi," katanya.

Ditanya mengenai syarat utama untuk parti tempatan menyertai GRS, Ahli Parlimen Papar itu berkata, paling utama sudah tentu berpegang kepada empat teras yang disebutkan sebelum ini.

"Selain itu, ia mestilah parti tempatan yang mempunyai sokongan rakyat, dilihat dari segi kerusi yang dimenangi, undi yang diterima, dan sejarah parti itu sendiri.

"Kita mahu parti yang boleh memberikan nilai signifikan kepada gerakan GRS, bukan sekadar 'parti penumpang'. GRS adalah platform untuk kita bersatu demi kepentingan Sabah," katanya.