
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen.
Permohonan tersebut diserahkan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu pertemuan bersama delegasi parti itu di Kota Kinabalu hari ini.
Menurut Ewon, penyertaan UPKO dalam GRS bertujuan memperkukuh usaha penyatuan dan kerjasama antara parti-parti tempatan di Sabah demi pembangunan negeri serta memperjuangkan hak-hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, visi “Sabah First” diperjuangkan UPKO selaras dengan perjuangan GRS menerusi agenda Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0, yang disifatkan perlu diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan di negeri itu.
“Majlis Tertinggi UPKO yang bersidang Isnin lalu telah sebulat suara bersetuju untuk mengemukakan permohonan bagi menjadi parti komponen GRS,” katanya. - Getaran, 29 Mei 2026






