Permukaan Stadium Hoki Nasional tidak rosak - Hannah

27 Nov 2024 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hannah Yeoh. Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan tiada sebarang kerosakan pada permukaan Stadium Hoki Nasional setakat ini walaupun turut menjadi venue penganjuran konsert.

Beliau berkata, Perbadanan Stadium Nasional telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bersesuaian dengan kerjasama pembekal turf hoki.

Menurut Hannah, sebanyak tiga konsert telah dijalankan dan dua lagi akan diadakan pada hujung tahun ini.

"Sebarang tempahan perlu melalui proses pematuhan SOP ketat, contohnya menutup turf dengan pelapik yang disarankan pembekal asal turf hoki bagi menampung berat,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, nisbah penggunaan stadium hoki adalah 60:40 dengan 60 untuk sukan dan 40 untuk bukan sukan.

"Acara konsert hanya akan dibenarkan sekiranya tidak bertembung dengan acara hoki,” katanya.

Sementara itu, Hannah memaklumkan 16,000 pelajar berpeluang bersukan di fasiliti stadium KBS secara percuma di Bukit Jalil hingga Oktober lepas.

Mengenai bantuan kepada persatuan dan kelab sukan, Hannah berkata sejumlah RM35,446,000 Geran Padanan Sukan telah diluluskan untuk 307 permohonan.

Beliau berkata, bagi Dana Sukan Komuniti, sebanyak RM19,990,000 telah diluluskan untuk 1,207 permohonan manakala RM4,528,770 Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara diluluskan bagi 72 kejohanan.

Beliau berkata, penyaluran dana dan geran itu antaranya untuk penganjuran kejohanan sebagai persiapan dan pengenalpastian atlet. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved