“Pernah beberapa kali terbabas di lokasi sama” – Laluan Sempit, Penduduk Dakwa Pemandu Lori Kejar Trip

Entertainment
14 May 2025 • 12:56 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Rupanya, nahas kemalangan yang telah meragut nyawa sembilan anggota FRU di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi semalam bukanlah kejadian pertama berlaku di laluan itu.

Penduduk memaklumkan jalan tersebut telah lama menjadi laluan ‘berisiko tinggi’ kerana keadaan jalan yang sempit dan ketiadaan lampu isyarat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Lampam Kanan, Mohammed Nadzri Mat Taib berkata, keadaan bertambah buruk apabila lori yang membawa muatan pasir serta batu kerap menggunakan laluan berkenaan.

“Pemandu lori ini memandu laju dan pernah beberapa kali terbabas serta terjatuh ke dalam parit di lokasi itu.”

Menurut Mohammed Nadzri, kebanyakan lori menggunakan laluan ini dipercayai berkaitan projek perumahan berhampiran dan mengejar masa untuk membuat trip ke lokasi pembinaan.

Katanya lagi, jalan tersebut menjadi laluan utama penduduk kerana berhampiran dengan kemudahan awam seperti tadika dan gerai makanan.

image is not available

Risiko bertambah apabila penduduk kampung keluar masuk dengan kenderaan kecil dalam keadaan jalan yang bersimpang-siur.

“Saya pun pernah menyuarakan dalam mesyuarat. Mungkin pembesaran jalan. Tambahan pula, jambatan kecil di situ memang bahaya jika berselisih.”

Walaupun pihak berkuasa ada melakukan tugasan rondaan di kawasan itu, namun ia tetap tidak memberi kesan kepada lori-lori terbabit kerana penguatkuasaan hanya dilakukan secara berkala.

Mustafa Rahman, 50, yang juga petani di situ berkata, lokasi laluan yang meragut nyawa sembilan anggota FRU semalam adalah laluan utama bagi lori yang mengangkut pasir atau batu, dipercayai untuk dibawa ke Selangor.

Dia juga meluahkan kebimbangan apabila berkongsi pengalamannya yang tidak berani menunggang motosikal ketika menghantar anak ke sekolah disebabkan banyak lori dipandu laju di jalan sempit itu.

Penduduk juga mempersoalkan ketiadaan tanda amaran, had kelajuan dan lampu isyarat di kawasan tersebut.

Pernah ada cadangan pembesaran jalan sebelum ini dan telah diluluskan namun difahamkan permohonan itu dibekukan tanpa maklumat lanjut.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.