
SIAPA sangka, di sebalik jubah konvokesyen yang tersarung kemas dan segulung ijazah kelas pertama, tersimpan sebuah naratif cinta luar biasa antara seorang wanita dan ibu mentuanya.
Memetik Bernama, kejayaan Nurul Fatihah Normallis menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini bukan sekadar pencapaian akademik peribadi, tetapi merupakan satu perlambangan budi dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada insan yang dipanggilnya mama.
Kisah bermula pada tahun 2021, ketika Nurul Fatihah masih lagi memegang status sebagai rakan kepada anak Asmah Miswan.
Melihat kesungguhan anak muda itu yang bertungkus-lumus melakukan dua pekerjaan serentak demi membantu keluarga dengan hanya berbekalkan diploma, hati Asmah tersentuh.
Tanpa memikirkan soal jodoh atau jaminan masa depan hubungan anaknya, pesara badan berkanun itu nekad menaja sepenuhnya pembiayaan pengajian Nurul Fatihah selama empat tahun kerana percaya bahawa pendidikan adalah kunci perubahan hidup.
"Mama sangat mementingkan pendidikan. Dia percaya pendidikan boleh mengubah kehidupan, sebab itu dia membantu saya sebaik mungkin. Saya jadi lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya, tidak boleh main-main dalam belajar.
"Saya sangat terharu kerana bukan semua berpeluang memiliki mentua yang sanggup berkorban untuk pendidikan menantu.
"Mama selalu tanya jika ada duit atau apa yang kurang membuatkan saya rasa dihargai dan disayangi," kata Nurul Fatihah yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir di Bernama Selangor.

Darah daging sendiri
Bagi Asmah pula, pelaburan yang diberikan kepada menantunya itu tidak pernah dianggap sebagai satu bebanan, sebaliknya satu tanggungjawab moral untuk melihat seorang wanita muda mempunyai masa depan yang lebih terjamin.
Beliau mengakui melihat Nurul Fatihah tidak ubah seperti darah dagingnya sendiri sejak awal lagi dan mahu memastikan wanita itu mendapat peluang pendidikan yang selayaknya tanpa perlu bimbang tentang kekangan kewangan.
"Saya percaya seseorang perlu diberi peluang untuk belajar supaya masa depannya lebih baik. Saya anggap dia seperti anak sendiri, jadi tidak pernah fikir soal lain termasuk jodoh sebab pada usia itu dia sepatutnya belajar.
"Mungkin ini rezeki dia dan saya bersyukur dapat jadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan kejayaannya hari ini," ujar Asmah dengan nada syukur melihat menantunya itu cemerlang dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104.

Menariknya, sokongan luar biasa itu tidak terhenti di peringkat ijazah sahaja kerana kini Nurul Fatihah sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana secara separuh masa.
Dengan dorongan berterusan daripada ibu mentuanya, wanita berusia 28 tahun ini memasang impian lebih tinggi untuk melangkah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Kisah inspirasi ini membuktikan bahawa hubungan mentua dan menantu mampu menjadi pemangkin kejayaan yang luar biasa apabila disulami dengan keikhlasan serta kepercayaan.
