
ADA fasa jatuh, ada waktu hilang arah dan ada ketika kita terpaksa menerima hakikat yang tidak pernah diminta.
Namun bagi sesetengah wanita, setiap ujian itu bukan penamat, sebaliknya menjadi titik mula untuk bangkit lebih kuat.
Itulah kisah yang dikongsikan oleh Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid apabila membuka lembaran hidupnya yang penuh liku daripada bergelar janda pada usia muda, sehinggalah diuji menjadi balu, sebelum kembali menemui bahagia.
Anak kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi itu mendedahkan, dia pernah melalui detik sukar apabila rumah tangga pertamanya berakhir ketika usianya baru mencecah 26 tahun.
Dalam usia yang masih muda, pemilik hotel Teedo itu perlu menerima hakikat sebagai seorang ibu tunggal, mengurus emosi dan kehidupan tanpa pasangan di sisi.
Namun, takdir membawanya ke fasa baharu apabila dia berkahwin semula pada usia 29 tahun, ketika itu hadir bersama seorang anak.

Kehidupan kembali disusun, dan kebahagiaan mula terasa.
Tetapi, ujian tidak berhenti di situ.
Pada usia 38 tahun, Nurulhidayah sekali lagi diuji apabila kehilangan suami tercinta. Sekelip mata, dia memikul tanggungjawab sebagai balu dengan dua orang anak, satu situasi yang pastinya bukan mudah untuk dihadapi.
“Pada usia 26 tahun, saya pernah merasa menjadi janda. Kemudian saya berkahwin semula pada usia 29 tahun sebagai ibu kepada seorang anak.
"Tetapi pada usia 38 tahun, saya diuji lagi dan menjadi balu dengan dua orang anak,” kongsinya menerusi Threads.
Setahun selepas itu, pada usia 39 tahun, Nurulhidayah dipertemukan dengan jodoh yang menerima dirinya dan ketiga-tiga anaknya daripada dua perkahwinan terdahulu.
Bagi beliau, perjalanan hidup ini mengajarnya untuk tidak terlalu bergantung kepada manusia, sebaliknya menyerahkan segala urusan kepada Yang Maha Esa.

“ALLAH Maha Baik. Dalam soal kehidupan, saya serahkan sepenuhnya kepada ALLAH, bukan manusia. Alhamdulillah, ALLAH mengurniakan kebahagiaan, walaupun saya sedar ia hanyalah pinjaman sementara,” luahnya.
Perkongsian itu nyata menyentuh hati ramai, apatah lagi ia datang daripada pengalaman sebenar yang penuh jatuh bangun tanpa berselindung, tanpa drama berlebihan.
