Pernah Menang 6 Anugerah, Noorkhiriah Pasang Nawaitu Berlakon Demi Rezeki - "Saya Bekerja Kerana Ini Adalah Kerja Saya"

13 Nov 2024 • 4:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Noorkhiriah telah memuat naik satu hantaran bagi membalas pertanyaan netizen yang bertanya bila dia akan memenangi anugerah di Malaysia.

Menerusi hantaran di Instagram, Khiriah, atau nama sebenarnya Noorkhiriah, 48, berkongsi bahawa dirinya pernah memenangi enam anugerah utama di Malaysia, iaitu Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, dan Anugerah Seri Angkasa.

“Assalamualaikum, jangan tanya lagi ye. Tanya lagi saya bawa jenjalan ala-ala lambaian ratu tak salah sama sekali bertanya tapi bila kerap sangat, saya tampal baliklah. Mungkin zaman saya menang awak belum lahir lagi. 

“Alhamdulillah, saya dah dapat lama sampai kuning warna trofi ini. Walaupun tak sebanyak mana dan tak penuh almari, saya dah dapat dulu,” katanya menerusi kapsyen di Instagram. 


Meskipun pernah memenangi anugerah tersebut, pelakon dari drama Nur itu menjelaskan  tujuan utama kerjanya bukanlah untuk mengejar anugerah atau penghargaan tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan olehnya.

“Sekarang misi kerja saya bukan lagi menang anugerah. Sebenarnya, dari dulu lagi saya bekerja sebab ini adalah kerja saya. 

“Saya bekerja untuk membayar keperluan saya. Kadang-kadang saya berfikir kenapa saya tidak menerima tawaran berlakon bukanlah anugerah yang saya fikirkan sekarang ini. 


“Bila kerja lakonan kita dihargai, saya mampu ucapkan Alhamdulillah syukur sahaja,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Khiriah turut mengakui matlamat utama dalam lakonannya sekarang adalah untuk menjiwai watak dalam sesuatu drama.


“Niat bekerja kerana anugerah itu bukanlah diri saya lagi. Misi saya sekarang adalah untuk memasukkan ‘Roh’ watak sesuatu cerita sebab lepas ini belum tentu ada rezeki tawaran berlakon yang menarik. 

“Ada kalanya menang anugerah pun belum tentu ada tawaran berlakon. Sebab zaman sekarang ini adalah zaman pengikut. Apa-apa pun, syukur alhamdulillah saya sudah merasa menang anugerah. Syukurlah,” ucapnya. 

Sekadar info, NoorKhiriah pernah merangkul enam anugerah berprestij di Malaysia. Antara anugerah yang pernah dimenangi oleh beliau adalah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin pada tahun 2007 dan 2010, Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian sebanyak tiga kali berturut-turut, dan Pelakon TV Komedi Terbaik (Telefilem) di Anugerah Seri Angkasa 2022.