
KADANGKALA memori yang paling kecil itulah yang sebenarnya paling besar maknanya dalam perjalanan hidup seseorang.
Bagi usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, kenangan tujuh tahun lalu ketika negara sedang 'berkurung' akibat lockdown sentiasa tersimpan kemas dalam kotak ingatannya.
Mana tidaknya, ketika itu beliau yang mesra disapa KA hanyalah seorang pemuda yang gigih merakam video masakan sendirian di atas lantai rumah.
Dalam keadaan serba kekurangan, dia memberanikan diri menghantar pesanan ringkas (DM) kepada idola nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, hanya untuk mengajak kolaborasi menggunakan rakaman suara di telefon.
"7 tahun lepas KA pernah DM Datuk Siti semasa lockdown nak ajak collab video masak guna recording suara kat phone.
"Ni zaman KA buat video masak sorang-sorang atas lantai. Kita nak tulis dm pun menggigil tangan sebab segan," kongsinya membuka cerita lama.
Namun, keajaiban berlaku apabila keesokan harinya, Biduanita Negara yang mesra disapa TokTi membalas pesanan tersebut dan menyatakan kesediaannya untuk membantu tanpa meminta apa-apa balasan.
"Keesokannya TokTi reply and setuju nak tolong tanpa minta apa-apa.
"Masa tu rasa nak nangis sebab ikon negara sudi nak support kita yang baru nak bermula kat rumah," dedahnya lagi.
Saat itu kata pemilik Sambal Nyet mengakui perasaan sebak hampir menguasai diri apabila seorang figura sehebat TokTi sudi memberi sokongan kepada anak muda yang baru sahaja ingin bermula.
Pengalaman itu membuktikan bahawa kebaikan hati seorang ikon negara mampu memberi impak yang luar biasa kepada semangat seseorang.
Masa berlalu begitu pantas, dan selepas tujuh tahun, takdir mempertemukan mereka kembali dalam suasana yang cukup istimewa.
Lebih menyentuh hati apabila TokTi sendiri memberikan ucapan penghargaan yang ditulis dengan tangannya sendiri buat Khairul Aming.
"Tujuh tahun kemudian TokTi sendiri bagi wish ni kat tangan semalam. Terharu kita. Terima kasih TokTi," katanya ringkas namun penuh dengan rasa syukur yang mendalam.

Keakraban dua figura hebat
Perkongsian di Threads itu bukan sahaja menyentuh perasaan Kanak muda kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu, malah membuatkan ribuan warga maya turut rasa 'berkaca mata' melihat keakraban dua figura hebat ini.
Rata-rata netizen memuji bagaimana kedua-dua personaliti ini kekal dengan resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Ada yang menyifatkan Khairul Aming sebagai contoh terbaik 'character development' yang sangat berjaya, manakala TokTi pula terus dikagumi kerana sikapnya yang sentiasa menyokong peniaga kecil tanpa mengira darjat.
"Dua-dua aura yang hebat dan tak pernah ada erti penat dan putus asa. Seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi," tulis salah seorang pengikutnya yang turut bangga dengan pencapaian mereka.
Bagi peminat, kisah ini bukan sekadar tentang sepucuk surat atau ucapan tahniah, tetapi tentang nilai kemanusiaan dan sikap saling menghargai yang jarang-jarang dapat dilihat.
KA kini bukan lagi pemuda yang merakam video di atas lantai, namun ingatan tulusnya terhadap jasa kecil TokTi menunjukkan betapa dia tidak pernah lupa pada asal usulnya.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat kita semua untuk terus berbuat baik dan menyokong satu sama lain dalam apa jua bidang yang diceburi.
