
PEMUZIK dan pelakon terkenal, Qi Razali mendedahkan, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas memegang status sebagai seorang bapa.
Kehadiran cahaya mata sulungnya, Anggun Sumayyah, bukan sahaja melengkapkan rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta, Wardah Hayati, malah membawa satu fasa baharu yang penuh dengan kemanisan dan rasa syukur dalam hidupnya.
Meniti usia lewat 40-an, pemilik nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, mengakui pernah berada di fasa reda dan berfikir mungkin rezeki perkahwinan atau menimang zuriat bukanlah tertulis untuk dirinya.
Bagaimanapun, aturan Tuhan itu sangat indah apabila kehadiran Anggun mengubah segala-galanya dan memberi makna yang cukup mendalam dalam setiap hela nafasnya kini.

"Hidup saya berubah 360 darjah. Saya tak sangka perkara ini akan berlaku dalam hidup saya. Pada usia awal 40-an, saya sudah reda dan fikir mungkin perkahwinan atau anak bukan untuk saya.
"Apabila Anggun hadir, dia memberikan satu makna baharu dalam hidup saya. Sekarang setiap benda kita buat, kita fikirkan dia. Tapi isteri saya tetap nombor satu, cuma sekarang bila ada anak, kita ada perasaan yang susah nak diluahkan.
"Memang seronok jadi ayah. Seronok bila kita dukung dia, kita tengok dia, kita senyum pada dia. Lepas itu, dia tengok kita balik, perasaan itu yang susah nak digambarkan," luah pelakon ini dengan penuh emosi.
Menariknya mengenai rutin harian Qi bersama si kecil, muzik menjadi medium utama untuk mereka bonding dan meluangkan masa bersama.
Menurut Qi, puteri kesayangannya itu sangat sensitif dengan bunyi-bunyian dan akan ditenangkan dengan melodi indah setiap kali menangis.

Alang-alang menyeluk pekasam, keunikan itu turut mencetuskan inspirasi buat Qi untuk menghadiahkan sebuah karya paling istimewa dan peribadi buat Anggun tidak lama lagi.
"Kalau saya main muzik, dia berhenti menangis. Dia suka dengan bunyi bunyian, dia suka muzik. Jadi saya ada buat lagu untuk dia tapi tak siap lagi. Tajuknya Yang Pertama. Saya buat ketika saya menjaga dia.
"Kalau tak pun, ketika dia dengan mak dia, atau ketika buat kerja, buka iPhone sambil tengok dia. Saya rakam momen-momen yang berlaku sejak dia lahir dan semua itu saya mahu abadikan dalam lagu.
"Saya pasang piring hitam dan menari dengan dia. Kalau dia menangis pun, bila dengar muzik dia akan berhenti menangis.
"Saya juga selalu bermain gitar untuk dia. Jadi daripada situlah lahirnya idea untuk menghasilkan lagu khas ini," ceritanya berkongsi momen manis melayan kerenah anaknya yang lahir pada 23 Januari lalu.
Lebih menyentuh hati, lagu tersebut bukan sekadar mengandungi bait lirik yang ditulis sendiri oleh Qi, malah turut menyelitkan audio tangisan sebenar Anggun untuk dijadikan kenangan seumur hidup.
Biarpun belum dilancarkan secara rasmi, naskhah istimewa itu sudah pun berjaya mengusik jiwa si isteri sehingga menitiskan air mata sejurus mendengarnya buat kali pertama.

"Ada suara tangisan dia dimasukkan dalam lagu itu. Bila saya dengarkan kepada isteri, dia pun sebak. Jadi saya rasa lagu ini okaylah," ujarnya sambil mengakui bakal mengeluarkan lagu tersebut pada Ogos bersempena hari jadinya.
Untuk rekod, Qi dan Wardah Hayati mendirikan rumah tangga pada 25 Mei tahun lalu.
Sumber: Astro Gempak
