
Pelakon, Nadiya Nisaa memuji kegigihan adiknya, Aida Amron yang berusaha mengejar impian dalam bidang lakonan meskipun pada awalnya tidak mendapat persetujuan keluarga.
Menerusi perkongsian di Instagram, Nadiya berkata Aida memilih untuk berusaha sendiri dan tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Siapa sangka dikala keluarga kata tidak, dia memilih untuk diam dan tidak menyerah. Walau ramai tak tahu. Ya dia adik, saya kakak. Belajar sendiri, usaha sendiri. Pujuk hati. Daya tahan,” tulisnya.
Menurut Nadiya, Aida tetap menghadiri sesi uji bakat dan kelas lakonan untuk menimba ilmu serta mencari peluang dalam industri seni.
Malah, kegigihan adiknya itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat pengiktirafan di pentas anugerah.
“Siapa sangka dikala keluarga berkata tidak, dia tetap pergi ke uji bakat dan kelas lakonan. Cari ilmu dan jalan. Isi ruang kosong dalam diri. Tak mahu malukan kakak. Kegigihan.
“Siapa sangka dikala keluarga kata tidak, ada mimpi yang tak pernah patah sebab Mira kebal anak Badak.
“Mirah pilih Mira dan Mira bawa hingga ke penghujungnya sehingga mendapat pengiktirafan di pentas. Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Nadiya turut berkongsi foto Aida ketika menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi lakonannya dalam filem Badak.

