Pernah Tular Terlantar Sakit Lepas Jatuh Dalam Kolam Renang, Adik Umar Meninggal Dunia

Entertainment
22 Jan 2025 • 4:18 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Selepas 5 bulan terlantar sakit, adik Che Umar Rais Che Fairollah, 4, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.11 tengah hari tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Khabar duka itu disampaikan oleh ibunya, Nurul Izzati Barni. Menurut ibu Umar, dia ada menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 11 pagi memaklumkan tentang jantung Umar dalam keadaan lemah dan perlu diberi bantuan menerusi mesin pernafasan.

“Kebetulan, saya dan suami (Che Fairollah Che Mezam, 40) memang dalam perjalanan ke HSB. Tapi waktu sampai, kami diberitahu Umar sudah meninggal dunia.”

“Sebagai ibu, tentunya saya sangat sedih. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Allah SWT kerana Umar pun sudah lama sakit dan kini hilang sakitnya di dunia.”

Katanya, jenazah Umar kini masih berada di Jabatan Forensik dan akan diuruskan di hospital. Jelasnya lagi, jenazah Umar akan disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Saadah Kampung Tebengau.

image is not available

“Kemungkinan jenazah akan dikebumikan hari ini juga selepas solat Asar nanti.”

“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat Umar dan terima kasih sangat kepada semua yang menitipkan doa, kata semangat juga sumbangan buat anak saya sebelum ini.”

“Saya sudah kehilangan Umar buat selamanya tapi syukur kerana berpeluang menjaganya… semalam pun sempat pegang tangannya sebelum dia tidur dengan nyenyak.”

image is not available

Sebelum ini tular mengenai kisah penderitaan Umar yang aktif dan petah bercakap namun terlantar sakit akibat lemas terjatuh di dalam kolam ketika bercuti dengan ibunya, Nurul Izzati di sebuah inap desa.

Penderitaan Umar dapat dilihat menerusi perkongsian gambar dan video dimuat naik Nurul Izzati di TikTok menunjukkan keadaan anak bongsunya hingga meruntun hati warganet.

Sumber : Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.