amree27/11/2026 - 16:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Nov — Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan hab logistik kenderaan, pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI), bandar aeroangkasa serta perumahan mampu milik menerusi komitmen pelaburan lima syarikat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, lima syarikat berkenaan sudah menyatakan komitmen masing-masing untuk membangunkan hab pertumbuhan baharu di sepanjang jajaran ECRL di negeri tersebut.
Beliau menambah, daripada jumlah berkenaan, tiga syarikat tersebut dikenal pasti memang sedia aktif dalam kategori sebagai pemaju utama iaitu KotaSAS Sdn Bhd, Pahang Aerospace City Development Bhd serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
"KotaSAS sendiri terlibat dalam pembangunan di sekitar Stesen ECRL KotaSAS, termasuk memeterai memorandum perjanjian dengan Asia Pac Holdings Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah pusat beli-belah baharu untuk merancakkan aktiviti ekonomi setempat," katanya.
Mohamad Nizar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Datuk Wong Tat Chee, mengenai syarikat yang memberi komitmen pelaburan di hab pertumbuhan baharu sepanjang laluan ECRL di Pahang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Jumaat.
Sementara itu ujar beliau, Pahang Aerospace City Development bakal membangunkan Pahang Aerospace City berhampiran dengan Stesen ECRL Cherating, selain syarikat tersebut sedang mengenal pasti pelabur berpotensi dalam sektor aeroangkasa, perbandaran, komersial dan pelancongan.

Pembangunan berkenaan jelas beliau, turut merangkumi cadangan pembinaan pusat konvensyen dan persidangan bagi menyokong pelbagai aktiviti perniagaan serta berpotensi untuk menarik lebih banyak lagi kegiatan ekonomi ke kawasan berkenaan.
"LPHP pula terlibat dalam usaha membangunkan skim perumahan Pangsapuri Pahangku di sepanjang koridor ECRL, sebagai sebahagian inisiatif kerajaan negeri ini untuk menyediakan kediaman mampu milik melalui kaedah sewaan dan pembelian," tambah Mohamad Nizar.
Bagi kategori sektor swasta, dua syarikat yang dikenal pasti ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan PKNP Five Phoenix Data Center Sdn Bhd.
Perodua terlibat dalam pembangunan hab logistik kenderaan di tapak seluas 8.9 hektar bagi menyokong pengedaran kenderaan menerusi perkhidmatan ECRL, sekali gus membuka ruang kepada pengukuhan rangkaian logistik automotif di Pantai Timur.
PKNP Five Phoenix Data Center pula sedang membangunkan pusat data berasaskan AI di Taman Teknologi Pahang, melengkapkan potensi koridor ECRL sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor logistik, teknologi dan pembangunan hartanah di negeri itu. - DagangNews.com



