
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Perodua mengumumkan harga baharu yang lebih kompetitif bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya, QV-E, susulan peningkatan kandungan tempatan dan pengoptimuman operasi bersama vendor tempatan.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, usaha meningkatkan pengeluaran komponen tempatan bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar negara, malah membolehkan syarikat menawarkan nilai lebih baik kepada pelanggan.

Perodua kini berjaya meningkatkan pengeluaran QV-E kepada lebih 500 unit sebulan, selain memperkukuhkan inventori alat ganti tempatan terutamanya komponen badan kenderaan bagi memastikan ketersediaan alat ganti yang lebih baik kepada pelanggan.
Bagi membantu pengguna menghadapi peningkatan kos sara hidup, Perodua memperkenalkan harga promosi terhad sehingga 30 September 2026. QV-E kini ditawarkan pada harga RM87,499 untuk pemilikan penuh, berbanding harga asal RM93,999.
Bagi pelanggan yang memilih pakej Battery as a Service (BAAS), harga kenderaan ditawarkan pada RM63,499, bersama bayaran bulanan sebanyak RM215 selama sembilan tahun, berbanding harga asal RM69,999.
Pakej BAAS merangkumi perlindungan menyeluruh termasuk insurans bateri, penggantian serta pengurusan pelupusan bateri sepanjang tempoh sewaan. Inisiatif ini bertujuan memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik EV tanpa perlu memikirkan kos berkaitan bateri pada masa hadapan.
Dari aspek keselamatan, Perodua QV-E telah menerima penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP. Ia menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 52.5 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 445 km (NEDC) bergantung kepada gaya pemanduan dan keadaan operasi.
Pada masa sama, pelanggan sedia ada QV-E turut menerima manfaat menerusi pengurangan bayaran bulanan BAAS daripada RM275 kepada RM215 bagi tempoh pembayaran seterusnya.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan menerusi aplikasi P-Circle atau mengunjungi bilik pameran Perodua yang sah di seluruh negara untuk maklumat lanjut.
The post Perodua QV-E Lebih Mampu Dimiliki, Harga Promosi Bermula RM63,499 appeared first on TW Media.




