Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

TechnologyDigital
3 Jun 2026 • 9:30 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Pasaran telefon pertengahan kini semakin kompetitif dan iQOO Z11 hadir tepat pada waktunya sebagai contoh bagaimana jenama mampu membawa ciri premium ke segmen lebih mampu milik. Fokus utamanya jelas iaitu prestasi konsisten serta bateri tahan lama yang menjadikannya nilai tambah utama. Ulasan ini akan memperlihatkan bagaimana telefon ini menggabungkan ketahanan dan prestasi dalam sebuah pakej pertengahan yang praktikal.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

pesifikasi

IQOO Z11
SkrinAMOLED, 1B colors, 144Hz, 2160Hz PWM, HDR
800 nits (typ), 2000 nits (HBM), 5000 nits (peak)
6.83″ 1260 x 2800 piksel (~450 ppi)
PemprosesSnapdragon 7s Gen 4
Cip1 x 2.7 GHz Kryo Prime
3 x 2.4 GHz Kryo Gold
4 x 1.8 GHz Kryo Silver
Cip GrafikAdreno 810
RAM8/12GB
RAM Maya (+12GB RAM)
Muatan Dalaman256 UFS 3.1
Kamera Utama50 MP (lebar) PDAF, OIS
Auxiliary lens
Kamera Depan32 MP
BateriSi/C Li-Ion 9020 mAh
90W berwayar
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68/69
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM1899 (8/256)
RM2199 (12/256)

Pengalaman Penggunaan

Hari demi hari, iQOO terus melancarkan model baharu, dan kali ini tumpuan diberikan kepada siri Z. Bagi yang sudah mengenali jenama ini, pasti sedar bahawa prestasi dan ketahanan sentiasa menjadi identiti utama iQOO. Siri Z pula sejak awal dibangunkan untuk menawarkan keseimbangan antara kuasa dan bateri tahan lama sambil berusaha menawan hati pengguna dalam segmen pertengahan yang semakin kompetitif.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Ketika berpeluang memegang iQOO Z11, perkara pertama yang menyerlah ialah perubahan pada reka bentuknya. Telefon ini hadir dengan panel rata di bahagian hadapan, sisi dan belakang, manakala sudut dibulatkan untuk memberi keselesaan ketika digenggam. Berbanding generasi Z sebelum ini yang lebih cenderung kepada rekaan melengkung, kali ini ia tampil lebih moden dan kemas. Malah, pendekatan ini mengingatkan kepada konsep siri Numeral yang menekankan gaya premium dengan fokus pada kuasa pemprosesan serta teknologi terkini.

Bagi mereka yang gemar gaya rata, iQOO Z11 memang sesuai dengan citarasa. Sewaktu digenggam, telefon ini terasa selesa seolah-olah direka untuk duduk kemas di tangan. Bahagian belakang dan bingkai menggunakan bahan polikarbonat, menjadikannya ringan serta mudah dibawa ke mana-mana. Walaupun praktikal, ia sedikit kurang memberi rasa premium berbanding pesaing yang menggunakan kaca atau logam. Namun begitu, pendekatan kos efektif ini tidak menjejaskan keselesaan harian, malah menjadikannya lebih mesra untuk kegunaan seharian.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan


iQOO Z11 hadir dengan dua pilihan warna iaitu Glacier White dan Cosmic Black. Kedua-duanya tampak elegan serta selamat, sesuai untuk pengguna yang mahukan gaya ringkas. Namun, iQOO sebenarnya boleh tampil lebih berani dengan memperkenalkan warna segar yang mampu menarik perhatian anak muda sekali gus memberi identiti lebih menonjol kepada siri Z.

Sebelum ini, siri Z7 5G dan Z9x pernah hadir dengan pilihan warna pop seperti Jingga dan Hijau. Warna sebegitu bukan sahaja memberi rupa lebih segar, tetapi juga menjadikan telefon lebih mudah dikenali serta terasa unik berbanding pesaing lain. Jika pendekatan itu dibawa semula, siri Z bukan sekadar tampil ringkas, tetapi juga bergaya dengan personaliti yang lebih jelas.

iQOO Z11 mengekalkan susun atur standard. Butang kuasa dan kelantangan ditempatkan di sebelah kanan manakala bahagian atas menempatkan lubang mikrofon serta gril pembesar suara. Bahagian kiri pula dibiarkan kosong. Di bahagian bawah terdapat slot dwi SIM, satu lagi lubang mikrofon, port USB-C serta gril pembesar suara kedua. Tiada butang tambahan lain disediakan, menjadikan reka bentuknya ringkas dan mudah difahami.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Daripada pengalaman saya, susun atur iQOO Z11 terasa biasa tetapi mudah difahami, jadi tidak mengambil masa lama untuk membiasakan diri. Semua butang berada di lokasi yang sama seperti kebanyakan peranti iQOO dan senang dicapai dengan satu tangan. Walaupun tiada butang tambahan yang mungkin menambah fungsi, pendekatan ringkas ini menjadikan penggunaan lebih kemas dan tidak berserabut. Secara keseluruhan, susun atur ini praktikal serta mesra pengguna kerana semuanya berada di tempat yang mudah dicapai.

Cuma yang menarik perhatian kali ini, iQOO akhirnya membawa sistem audio stereo. Ini jelas satu peningkatan berbanding Z10 yang masih mono. Ketika menonton video atau bermain permainan, bunyinya terasa lebih seimbang dengan suara tengah yang jelas. Namun begitu, bass agak lemah dan kadang-kadang bunyi boleh pecah apabila tahap kelantangan dinaikkan terlalu tinggi.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Walaupun begitu, untuk kegunaan harian kualitinya sudah memadai dan terasa lebih baik berbanding generasi sebelumnya. Selain itu, saya menghargai ciri ketahanan air IP68 dan IP69 yang memberi keyakinan tambahan, seolah-olah telefon ini memang dibina untuk tahan lasak. Dari segi keselamatan pula, adanya pengimbas cap jari dan imbasan wajah menjadikan akses ke peranti terasa pantas serta selamat.

Tahun ini skrin terasa lebih besar dengan panel AMOLED 6.83 inci beresolusi 1.5K. Dari segi pengalaman, ia menawarkan ciri biasa panel AMOLED dengan warna yang hidup, hitam yang pekat dan kontras yang baik. Sama ada menonton video, bermain permua atau menatal media sosial, paparan ini mampu memberi kepuasan yang konsisten.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Selain itu, kadar segar semula turut dinaikkan daripada 120Hz pada Z10 kepada 144Hz pada iQOO Z11. Walaupun peningkatan ini kedengaran menarik, perbezaannya dalam penggunaan harian tidak begitu ketara kerana menatal aplikasi atau laman web sudah terasa lancar pada 120Hz.

ambahan pula, tidak semua aplikasi menyokong 144Hz, menjadikan pengalaman biasa sukar dibezakan kecuali bagi pengguna yang sudah terbiasa dengan peranti kadar segar semula tinggi. Namun kelebihan sebenar jelas ketika bermain permainan yang menyokong kadar bingkai tinggi, di mana 144Hz memberikan animasi lebih responsif dan pergerakan imej lebih lancar, sekali gus menjadikan pengalaman bermain lebih imersif.

Daripada pengalaman, tetapan 144Hz pada iQOO Z11 bukan sekadar gimik kerana ia memberi kesan dalam situasi tertentu. Manfaatnya lebih jelas memandangkan peranti ini ditujukan untuk permainan dan impaknya terasa bagi pengguna tegar. Untuk kegunaan harian, 120Hz sudah memadai, namun 144Hz tetap menambah sedikit kelancaran yang membuatkan skrin terasa lebih moden dan eksklusif.


Perkakasan Dalaman – Snapdragon 7s Gen 4

iQOO Z11 hadir dengan cip Snapdragon 7s Gen 4 digandingkan bersama memori 12GB RAM serta storan dalaman 256GB. Gabungan ini cukup berkuasa untuk tugasan harian mahupun permainan. Tambahan pula, RAM maya 12GB diaktifkan secara lalai bagi menyokong multitugas walaupun tidak boleh diubah suai oleh pengguna. Dalam masa sama, ketiadaan slot microSD menjadikan kapasiti storan kekal dan tidak boleh ditambah.

  • Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Realme 16 Pro+ – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Nothing Phone (4a) Pro – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
  • Poco X8 Pro – Dimensity 8500 Ultra (4 nm)

AnTuTu 3D

PerantiSkor
IQOO Z111,152,162
Oppo Reno15 1,412,018
Vivo V70 1,464,284
Realme 16 Pro+1,424,007
Nothing Phone (4a) Pro1,408,711
Poco X8 Pro2,086,502

Geekbench 6

PerantiSatu TerasMulti Teras
IQOO Z1112072799
Oppo Reno1512803857
Vivo V7013614181
Realme 16 Pro+13374132
Nothing Phone (4a) Pro12823907
Poco X8 Pro17216340

3DMark Wildlife Extreme

CipSkor
IQOO Z111117
Oppo Reno152082
Vivo V702093
Realme 16 Pro+2108
Nothing Phone (4a) Pro1993
Poco X8 Pro4120

engalaman menggunakan peranti ini terasa cukup stabil untuk kegunaan harian. Cip Snapdragon 7s Gen 4 yang digunakan mampu memberi keseimbangan yang memadai untuk pengguna biasa walaupun bukan cip mercu. Bagi telefon kelas pertengahan, ia sudah cukup untuk menawarkan prestasi lancar dan boleh dipercayai. Secara teknikal, cip ini tidak memberikan lonjakan besar berbanding Snapdragon 7s Gen 3 pada IQOO Z10 namun ia tetap dianggap sebagai peningkatan kecil yang berguna. Pengalaman bermain permainan menunjukkan grafik lebih jelas dengan kadar bingkai stabil. Untuk tugasan harian seperti media sosial, multitugas dan kamera, semuanya berjalan lancar tanpa gangguan.


Perisian Dalaman – OriginOS 6 (Android 16)

iQOO Z11 menggunakan OriginOS 6 berasaskan Android 16. Sistem ini merupakan naik taraf daripada Android 15 dan Funtouch OS. OriginOS 6 pada peranti ini bukan sekadar perubahan rupa, malah turut menawarkan pengalaman yang lebih praktikal. Antaramuka terasa moden, konsisten dan mesra pengguna sehingga menjadikan penggunaan harian lebih lancar serta selesa.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Tambahan pula, vivo kini telah meninggalkan Funtouch OS dan semua peranti termasuk siri iQOO kini menggunakan OriginOS. Perubahan ini menjadikan keseluruhan ekosistem lebih konsisten serta selari dengan hala tuju baharu mereka. Hal ini sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih menyeluruh dan seragam merentas peranti.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Jadi, apa yang ditawarkan kali ini? Peralihan animasi lebih lancar melalui penggunaan Blue River Engine yang menjadikan antara muka lebih efisien serta membolehkan aplikasi dibuka dengan pantas dan sistem terasa responsif. Lock Screen turut diperbaharui dengan rekaan Liquid Glass lut cahaya yang membolehkan jam dialihkan ke mana-mana bahagian skrin. Sokongan Depth Effect Wallpapers bersama paparan penuh album art ketika muzik dimainkan memberikan pengalaman paparan baharu.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Panel tetapan pantas serta paparan utama kini direka semula dengan lebih bebas. Pengguna boleh mengubah saiz mengikut keselesaan, manakala ikon dan widget hadir dengan gaya lut cahaya serta tepi melengkung yang kemas. Origin Island pula berfungsi seperti Dynamic Island yang akan memaparkan kemas kini semasa seperti status penghantaran, pemasa, muzik dan notifikasi tanpa perlu membuka aplikasi penuh. Semua ini menjadikan penggunaan lebih mudah dan pengalaman terasa moden.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Ciri AI kini memberi nilai tambah dalam penggunaan harian. Antara fungsi yang tersedia termasuk AI Reflection Removal untuk foto, manakala AI Live Cutout dan AI Erase memudahkan proses suntingan imej. Selain itu, terdapat juga AI Translation, AI Transcript, AI Call Translation serta AI Note Assist yang menyokong catatan pintar. Sementara itu, notifikasi dan widget boleh disusun secara bertindih untuk menjadikan paparan lebih kemas. Akhir sekali, iQOO Z11 akan menerima kemas kini tiga versi Android bersama tampalan sekuriti selama lima tahun.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Menggunakan kamera iQOO Z11 memberikan pengalaman yang baik untuk kegunaan harian walaupun ia bukanlah sistem kamera yang sempurna. Hasil gambar masih meyakinkan, terutama bagi pengguna yang gemar warna tepu dan kontras tinggi. Secara keseluruhan, profil warna yang diberikan mengingatkan saya kepada gaya yang biasa ditawarkan pada peranti vivo dan iQOO sebelum ini. Oleh itu, bagi mereka yang pernah menggunakan telefon vivo, perbezaannya boleh dikatakan hampir tiada.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Setiap gambar yang dihasilkan mempunyai kontras tinggi dengan warna yang lebih tepu. Hal ini menjadikan imej kelihatan lebih hidup serta menyerlah. Apabila diuji dalam keadaan cahaya rendah, imej masih mengekalkan butiran yang mencukupi. Warna kekal tepu dan kontras tetap tinggi. Selain itu, hingar pada waktu malam tidak terlalu ketara, sekali gus memberikan hasil yang masih boleh diterima untuk kegunaan harian.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Hasilnya kelihatan kemas serta teratur walaupun hanya menggunakan jarak fokus 1x dan 2x. Hal ini kerana selebihnya hanyalah zum digital yang agak terhad. Situasi ini menunjukkan kamera iQOO Z11 masih mampu memberikan hasil yang memuaskan untuk kegunaan harian. Selain itu, ia sesuai bagi mereka yang gemar imej dengan gaya warna yang lebih dramatik.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan


Untuk mod potret, pengalaman agak bercampur. Bokeh yang dihasilkan memang memuaskan kerana latar belakang kelihatan kabur dengan cantik. Namun begitu, pemisahan tepi subjek kadangkala kurang kemas. Dalam keadaan di mana latar belakang lebih cerah daripada tona kulit muka, ketepatan pemisahan menjadi lemah. Walaupun begitu, auto fokus berfungsi dengan baik dan konsisten sama seperti kamera utama. Oleh itu, hasil potret masih boleh diterima untuk kegunaan harian.

Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan

Secara keseluruhan, kamera iQOO Z11 terasa praktikal untuk kegunaan harian. Ia mampu menghasilkan gambar dengan warna menyerlah serta kontras tinggi. Walaupun terdapat keterbatasan pada zum digital dan ketepatan mod potret, prestasinya masih memuaskan dalam kebanyakan situasi. Ringkasnya, kamera ini bukanlah yang terbaik di pasaran, tetapi cukup seimbang untuk kelas pertengahan dan sesuai bagi pengguna yang mahukan hasil konsisten tanpa perlu banyak tetapan tambahan.


Bateri Dan Pengecasan Pantas  

Pengalaman menggunakan iQOO Z11 dengan bateri 9200mAh terasa meyakinkan. Pada awalnya memang timbul sedikit skeptikal kerana kapasiti besar di atas kertas tidak semestinya menjamin ketahanan sebenar. Namun selepas beberapa hari penggunaan, jelas ia memberi perbezaan. Dalam satu sesi, telefon ini mampu bertahan sehingga 22 jam 39 minit selepas pengecasan penuh dengan hampir 9 jam SOT sedangkan baki bateri masih 29%. Dalam situasi lain, ia mencatat hampir 10 jam SOT dengan baki 37%. Terdapat juga penggunaan lebih 8 jam SOT dengan baki bateri masih 52%.

Ketahanan bateri telefon ini bukan sekadar angka di atas kertas sebaliknya terasa baik dalam rutin harian. Sepanjang penggunaan untuk panggilan video yang panjang, membalas mesej, mengambil gambar, menonton video termasuk Netflix, menggunakan peta untuk navigasi serta bermain permua sekali-sekala, baterinya mampu memberi keyakinan tanpa perlu risau mencari pengecas setiap beberapa jam. Dengan kapasiti 9200mAh, bateri telefon ini bukan sahaja besar tetapi juga pintar dalam pengurusan tenaga. Gabungan ini memberikan pengalaman penggunaan yang mantap sambil memastikan prestasi dan kecekapan tenaga kekal terjaga.


Apa Ada Dalam Kotak

Berikut kandungan yang disertakan bersama unit:

  • 1 × IQOO Z11 5G.
  • 1 × Kepala pengecas 90W USB-A
  • 1 × Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1 × Kerangka silikon.
  • 1 × Manual pengguna.
  • 1 × Pencungkil SIM.

Kesimpulan

iQOO Z11 menawarkan ketahanan bateri yang meyakinkan sesuai untuk mereka yang mahukan telefon tahan lama tanpa perlu kerap mengecas. Ia ideal bagi pengguna aktif seperti gamers atau pekerja lapangan yang banyak bergerak dan tidak mahu bergantung pada bank kuasa. Dengan bateri berkapasiti 9200mAh serta pengurusan tenaga yang cekap, telefon ini memberi keyakinan untuk digunakan sepanjang hari.

Namun, bagi mereka yang mementingkan kamera premium atau cip mercu masih terdapat pilihan lain yang lebih sesuai. Misalnya, Poco X8 Pro Max hadir dengan bateri 9000mAh serta pengecasan 100W manakala iQOO Z11x menawarkan bateri 7200mAh dengan harga lebih mesra pengguna. Senang kata, iQOO Z11 ialah pilihan seimbang dalam kelas pertengahan dengan fokus pada bateri dan ketahanan sekaligus menjadikannya telefon yang praktikal untuk kegunaan harian.


Kelebihan

  • Bateri 9200mAh yang mampu digunakan sepanjang hari.
  • Pengecasan pantas 90W untuk mengurangkan masa menunggu.
  • Paparan AMOLED 144Hz dengan skrin yang lancar dan responsif.
  • Reka bentuk nipis serta dilengkapi ketahanan IP69.
  • Sokongan kemas kini 3 versi Android dan 5 tahun sekuriti.

Kekurangan

  • Kamera sederhana tanpa sokongan telefoto atau ultra-lebar.
  • Cip Snapdragon 7s Gen 4 dengan prestasi yang hanya sederhana.
  • Audio stereo kurang memuaskan untuk pengalaman hiburan.
  • Pilihan storan terhad bergantung pada varian yang ditawarkan.
Image from: Ulasan iQOO Z11 – Bateri Besar Jadi Tumpuan