Perodua, UTM Bangunkan xEV?

LocalTechnology
20 Jan 2025 • 4:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.

Memorandum ini melibatkan aspek pendidikan dan latihan kepada bakal jurutera baharu dalam membangunkan teknologi berkaitan xEV.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya berharap mampu membina teknologi xEV sendiri dan kelebihannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Melalui perjanjian ini, Perodua telah melangkah lebih jauh daripada tugas asalnya - daripada menjadi pemangkin pemindahan teknologi kepada sebuah entiti yang memacu pembangunan teknologi,” katanya.

image is not availableimage is not available

Perodua, yang ditubuhkan pada 1993, diwujudkan bagi menyediakan kenderaan yang berkualiti tingggi dan mampu milik buat rakyat Malaysia.

Pada masa sama, ia bertindak sebagai syarikat yang dapat memindahkan teknologi ke Malaysia.

Pemindahan teknologi ini bertujuan untuk membangunkan ekosistem automotif negara danmeningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi rakyat Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md Illias pula menyifatkan kerjasama ini adalah dapat memacu kelestarian mobiliti di Malaysia.

“Kerjasama ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara akademia dan industri dalam memperkasakan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan,” katanya.

Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar dan penyelidik UTM, tetapi juga menjadi model kerjasama antara akademia dan industri untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor automotif global.

Perjanjian ini menekankan enam elemen utama termasuk kerjasama antara Perodua dan UTM dalam memperkukuh kurikulum akademik UTM bagi kursus kejuruteraan dan bidang- bidang berkaitan.

Selain itu, melalui perjanjian ini, satu makmal satelit akan ditubuhkan di kampus utama UTM di Skudai, Johor.

Perodua dan UTM akan bertukar pengetahuan mengenai perkembangan semasa pelbagai teknologi automotif yang memfokuskan kepada xEV.

Kedua-dua pihak juga akan bersama-sama memberi pendedahan kepada ahli-ahli akademik dan jurutera dalam pembangunan teknologi xEV.

Perodua dan UTM akan bekerjasama secara aktif dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta program pembangunan bakat dan latihan untuk kakitangan masing-masing.