
BANGKOK: Seorang lelaki bersenjatakan pistol melarikan lebih 1.5 juta baht (kira-kira RM185,000) selepas merompak sebuah bank TTB di daerah Khlong Luang, Pathum Thani, semalam.
Kejadian dilaporkan kira-kira jam 3.55 petang di cawangan TTB berhampiran sebuah bulatan di kawasan Khlong Luang.
Menurut polis dari Balai Polis Khlong Luang, suspek setinggi kira-kira 170 sentimeter memakai topeng balaclava, baju merah dan sarung tangan. Dia tiba di bank berkenaan dengan menaiki kereta sedan Toyota Vios berwarna kelabu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek memasuki bank sebelum memusingkan papan tanda tutup dan kemudian menggunakan sebatang besi untuk mengunci pintu bank dari dalam.
Suspek bergegas ke kaunter sebelum dipercayai mengacukan senjata api kepada pekerja dan mengugut mereka untuk menyerahkan wang tunai. Dia dilaporkan mengambil 500,000 baht (RM61,600) dari kaunter dan satu juta baht lagi dari peti besi.
Kenderaan suspek kemudian ditemui terbakar di kawasan tanah lapang di tepi Jalan Phahonyothin menghala masuk. Pemeriksaan polis mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu adalah palsu.
Pegawai sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan suspek untuk melarikan diri dalam usaha mengesan lelaki berkenaan.
Pasukan forensik turut memeriksa nombor casis dan enjin kenderaan terbabit bagi mengenal pasti identiti kereta itu serta mendapatkan petunjuk mengenai pihak yang mungkin terlibat dalam rompakan berkenaan.
The post Perompak bakar kereta selepas kebas RM185,000 appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Barang kemas setengah juta lesap dilarikan empat lelaki](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/ROMPAK-KEDAI-EMAS-KUANTAN-1024x768.jpg)
