
Peronda Perubatan TH Sentiasa Siap Siaga, Beri Bantuan Awal Kepada Jemaah
Di sebalik kelancaran ibadah haji, terdapat 30 orang petugas peronda perubatan Tabung Haji (TH) bertanggungjawab memberi bantuan kecemasan kepada jemaah Malaysia.
Walaupun berdepan dengan beberapa cabaran, mereka yang terdiri daripada lapan kumpulan itu sentiasa bersiap sedia membantu jemaah yang memerlukan terutama ketika di Kompleks Jamaraat.
Timbalan Ketua Peronda Perubatan, Dr Amir Suhaimi memaklumkan bahawa setakat ini tiada kes yang terlalu kritikal berlaku melibatkan jemaah.
"Kita dapat atasi terus di lokasi. Ada yang perlu bantuan untuk bawa ke klinik kecemasan tapi tidak terlalu kritikal sewaktu melontar di Kompleks Jamaraat," katanya.
Menurutnya, para petugas akan bergerak secara berkumpulan dan bergilir selepas satu jam dengan kumpulan yang lain bagi memastikan jemaah sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selamat.
Setiap pasukan perlu mempunyai komunikasi yang jelas supaya semua proses berjalan dengan lancar.
"Jadi kita akan bergerak sehala kerana tidak boleh patah balik dan kita akan jumpa jemaah-jemaah yang duduk di tepi kerana kesakitan dan sebagainya
"Kes-kes ringan seperti terseliuh, jatuh, luka da sakit pinggang kita akan bagi rawatan segera di lokasi," ujarnya.

Dalam pada itu, setiap petugas dilatih dengan sekurang-kurangnya bantuan kecemasan awal untuk memberi pertolongan cemas di lokasi kejadian.
"Kita akan beri bantuan kecemasan di tempat atau lokasi kejadian tapi kalau ada kecemasan yang lebih kritikal, kita akan beri bantuan awal
"Kemudian, kita akan buat keputusan sama ada rujuk ke hospital ataupun rujuk ke klinik kecemasan. Jadi, kalau kecemasan ringan, kita akan bagi rawatan di lokasi sahaja.
"Kalau jemaah itu boleh berjalan ke tempat penginapan, jemaah itu boleh terus ke tempat penginapan.," katanya lagi.
Baca juga:
Komitmen Luar Biasa Petugas TH Hasilkan Khidmat Bertaraf Dunia
Lima Hari Paling Mencabar, Petugas Perubatan Haji Bersedia Hadapi Masyair
Petugas TH Kongsi Pengalaman Sedih Urus Jemaah Haji Meninggal Dunia
Amir berkata, antara kekangan yang dihadapi pasukan peronda perubatan ialah jumlah jemaah dari negara lain yang ramai di kawasan berkenaan.
"Mungkin berlaku sedikit kelewatan (beri bantuan) kerana laluan dihalang jemaah dari negara lain atau perlu melalui kawalan polis Arab Saudi," katanya.





