Perpaduan formula terbaik UMNO-PH hadapi PRU16 - Chin Tong

LocalPolitics
4 May 2026 • 1:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Perpaduan formula terbaik UMNO-PH hadapi PRU16 - Chin Tong
Chin Tong

ISKANDAR PUTERI - Formula kerjasama politik antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai pendekatan terbaik dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong berkata, keikhlasan, persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak penting bagi pendekatan berkenaan.

"Saya percaya formula perpaduan tersebut adalah formula terbaik untuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tetapi bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

"Hanya keikhlasan, persefahaman dan kerjasama dapat merealisasikan formula ini," katanya ketika Perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, pada Isnin.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew berkata, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, politik negeri telah melalui perubahan yang mana pembangkang dijadikan pengimbang.

"Selepas PRN tersebut, saya sebagai Ketua Pembangkang ketika itu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mencadangkan kepada beliau tentang kerjasama dwipartisan dalam usaha memajukan negeri.

"Pada masa itu juga, apabila semua pihak bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, hubungan antara kerajaan negeri dan pembangkang agak tegang.

"Keputusan PRU November 2022 membolehkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan antara PH dan UMNO," katanya.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan lagi, hubungan antara Pakatan Harapan dan UMNO dipertingkat negeri juga bertambah baik apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menjadikan pembangkang sebagai pengimbang pada tahun 2023.

"Ini mencerminkan peranan PH, walaupun bukan sebahagian daripada kerajaan,dapat bekerjasama dalam suasana saling menghormati.

"Tema kempen BN dalam PRN Johor Mac 2022 adalah “kestabilan”. Di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan, dan Datuk Onn Hafiz Ghazi di peringkat Negeri, kestabilan berjaya diwujudkan.

"Malah, kemajuan yang dicapai oleh Johor sepanjang tiga tahun lalu adalah lebih baik daripada dekad-dekad sebelumnya," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan persempadanan semula kawasan pilihan raya, memandangkan terdapat tujuh kerusi dengan jumlah pengundi yang sangat besar.

"Persempadanan semula adalah pendekatan yang lebih sesuai dan tepat memandangkan ada 7 kerusi yang mempunyai pengundi hampir atau melebihi 100,000 orang.

"Kerusi-kerusi tersebut adalah N40 Tiram dengan 116,608 pengundi, N41 Puteri Wangsa (127,599), N43 Permas (113,172), N46 Perling (109,210), N48 Skudai (106,497), N49 Kota Iskandar (131,330), dan juga N42 Johor Jaya (97,298)," katanya.