
KUALA LUMPUR — Dakwaan kononnya Kerajaan Perpaduan mahu menangguhkan PRN Melaka dan Johor kerana takut kalah disifatkan tidak berasas oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambil menegaskan hak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak sepenuhnya pada pemerintah negeri.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membidas kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil menegaskan kerajaan tidak akan mengulangi langkah yang pernah dibuat bekas perdana menteri itu ketika menerajui pentadbiran negara.
“Jadi, janganlah apa yang dia (Muhyiddin) buat, dia fikir orang lain akan buat macam dia juga,” katanya selepas merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa cadangan penangguhan PRN didorong rasa takut akibat kehilangan sokongan rakyat.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong mencadangkan penangguhan PRN bagi mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup akibat krisis tenaga global.
Ahmad Zahid menegaskan tidak timbul soal menangguhkan PRN di kedua-dua negeri kerana keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak mutlak pemerintah negeri.
“Ini (PRN) terserah pada Tuan Yang Terutama (TYT), Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Agong sendiri kerana hak pembubaran DUN terletak kepada mereka,” katanya. - 20 April, 2026
The post Kerajaan tidak tangguh PRN sebab takut kalah: Zahid appeared first on Scoop.






