Perplexity, salah satu firma memfokuskan pembangunan kecerdasan buatan, hari ini membuat kejutan dengan membida untuk mengambil-alih pelayar web Google Chrome pada nilai $34.5 bilion. Apa yang peliknya berkenaan bidaan ini adalah nilai yang dibida adalah lebih tinggi daripada nilai keseluruhan syarikat tersebut sendiri yang dianggarkan sekitar $14 bilion.

Sebelum ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah membicarakan Google, dan turut melihat kepada kemungkinan pecahkan beberapa komponen perniagaan dalam Google untuk mengelak monopoli. Keputusan akhir untuknya dinantikan, dan semestinya pihak Google sendiri akan melawan sebarang keputusan yang tidak memihak kepada mereka.
Google Chrome kini menjadi salah satu pelayar web yang digunakan ramai di seluruh dunia. Sebelum ini, bahagian Google Chrome sendiri dianggarkan bernilai lebih $50 bilion. Beberapa pihak sedia menyatakan hasrat untuk mendapatkan pelayar web popular berkenaan, termasuk OpenAI dan Yahoo.
Dengan perkembangan arena kecerdasan buatan, kini ramai melihat untuk menguasai arena pelayar web, membolehkan pelbagai agen kecerdasan buatan dijalankan dengan mudah dan melaksanakan sejumlah tugasan. Perplexity sendiri sedia mempunyai pelayar web mereka yang ditawarkan kepada pelanggan berbayar, dinamakan Comet.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada Perplexity akan mempunyai kekuatan dana dan sokongan dalam mengambil-alih Google Chrome atau sebaliknya. Firma memfokuskan kecerdasan buatan ini sebelum ini turut pernah cuba untuk membida mendapatkan TikTok di Amerika Syarikat.

