Perplexity Memperlihatkan Pelan Mereka Untuk Merombak AI Rekomendasi TikTok

TechnologyDigital
24 Mar 2025 • 4:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

TikTok ialah platform video ringkas milik ByteDance yang kini sedang menghadapi kesukaran di Amerika Syarikat kerana perkhidmatan tersebut perlu dijual kepada sebuah syarikat teknologi Amerika Syarikat untuk membolehkannya kekal beroperasi di negara tersebut.

Sehingga kini, satu-satunya syarikat yang dilihat serius mahu mengambil-alih TikTok ialah syarikat teknologi Oracle, yang dikenali untuk sistem pengurusan pengkalan data dan sering digunakan oleh konglomerat dan kerajaan untuk menguruskan data mereka.

image is not available

Perplexity, sebuah syarikat gergasi AI juga telah mengatakan bahawa mereka berminat untuk mengambil-alih operasi TikTok di negara tersebut, dan terkini telah mengeluarkan kenyataan tentang bagaimana mereka akan “membina semula” perkhidmatan tersebut untuk para pengguna Amerika Syarikat.

Dalam hantaran mereka, Perplexity mengatakan bahawa mereka akan menggantikan sistem “black box” AI yang digunakan ByteDance untuk mengesyorkan kandungan kepada pengguna kepada sistem AI dengan sumber terbuka, supaya semua pengguna tahu bagaimanakah kandungan di platform tersebut disiarkan kepada pengguna-pengguna mereka.

image is not available

Perplexity juga mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan sistem “Community Notes” seperti yang diperlihatkan pada X/Twitter untuk memastikan sebarang kandungan yang bersifat maklumat adalah tepat dan benar, dan membolehkan TikTok menjadi platform yang neutral dan boleh dipercayai oleh pengguna dan orang ramai.

Infrastruktur AI Perplexity akan dikuasakan oleh NVIDIA Dynamo, yang dilaporkan boleh menaiktarafkan kepantasan algoritma rekomendasi TikTok sebanyak 100 kali, dan ini membolehkan sistem tersebut untuk bukan sahaja menampung lebih ramai pengguna, tetapi juga mempercepatkan rekomendasi video kepada pengguna.

Dalam pada itu, Perplexity juga mengatakan bahawa mereka mahu memperkenalkan kotak carian terbaik di dunia untuk TikTok. Perplexity AI dikenali untuk perkhidmatan carian mereka yang memberikan jawapan dengan konteks yang mendalam, tetapi juga boleh digunakan untuk mencari fail dan konteks didalam rangkaian tertutup.

Perplexity juga mengatakan bahawa mereka mahu menggunakan kandungan di TikTok sebagai cara untuk mereka menambah konteks kepada jawapan carian mereka, dan bergantung kepada carian, video-video TikTok akan ditambah kepada laman carian Perplexity juga.

Perplexity nampaknya benar-benar serius dalam mahu mengambil-alih TikTok, tetapi buat masa ini, nampaknya Oracle masih lagi dilihat sebagai syarikat teknologi terutama yang akan mengambilalih perkhidmatan tersebut pada bulan April kelak.