liza09/01/2026 - 10:29 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Jan – Lebih banyak taman industri dijangka dibina di seluruh negara dalam beberapa tahun akan datang yang akan mewujudkan persaingan sengit dalam segmen hartanah industri, kata Maybank IB.
Firma penyelidikan itu berkata peningkatan penawaran ini berlaku kerana minat tinggi pelabur domestik dan asing terhadap kawasan strategik seperti Zon Khas Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ), Malaysia Vision Valley (MVV 2.0), Taman Industri Teknologi Tinggi Kulim di Kedah serta sekitar Pulau Pinang yang menawarkan kos lebih rendah dan insentif kerajaan.
“Sektor hartanah kediaman bertingkat di sekitar Johor Bahru pula berisiko mengalami lebihan bekalan (oversupply) antara 2028 hingga 2030 jika kadar sewa dan harga jualan tidak memenuhi jangkaan, walaupun permintaan jangka pendek meningkat berikutan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap hujung 2026.
“Pemilihan lokasi dan rekod pelaksanaan projek menjadi kunci kejayaan dalam pasaran yang semakin kompetitif ini,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Firma tersebut berkata industri hartanah kini bergerak ke fasa yang lebih matang di mana bukan semua projek industri akan berjaya.
“Pelabur dan pemaju perlu lebih berhati-hati, memilih lokasi strategik dan memastikan projek berjalan lancar. Kejayaan projek bergantung kepada sokongan dasar kerajaan, pelaburan asing, tenaga kerja, serta kemudahan infrastruktur.
“Segmen hartanah industri telah menjadi pemacu pertumbuhan utama sejak pandemik, disokong oleh kenaikan permintaan e-dagang dan logistik, diikuti oleh aliran pelaburan asing yang kukuh.
“Permintaan pusat data juga menyumbang kepada lonjakan transaksi tanah, terutamanya pada 2024, meningkatkan keyakinan terhadap segmen industri berbanding hartanah kediaman, pejabat dan runcit,” katanya.
Di Johor, RTS yang dijangka siap hujung 2026 dijangka meningkatkan aktiviti komersial dan gaya hidup rentas sempadan antara Johor dan Singapura.
Projek kediaman bertingkat dan komersial berhampiran stesen RTS telah menunjukkan harga melebihi RM1,200 per kaki persegi, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap peningkatan aliran manusia dan aktiviti perniagaan.
Saham pilihan Maybank IB dalam sektor hartanah termasuk SP Setia Bhd dan Sime Darby Property yang dikekalkan dengan saranan Beli.
Maybank IB mengekalkan Eco World Development pada penarafan Pegang dengan saranan pelabur mempertimbangkan membeli apabila harga turun kerana syarikat itu mempunyai rekod pengurusan yang kukuh, asas kewangan yang sihat dan kepelbagaian hartanah industri strategik.
SP Setia menonjol dengan rancangan memanfaatkan melalui REIT bernilai kira-kira RM2.7 bilion pada separuh kedua 2026, selain projek taman industri di Penang dan potensi JV di Vietnam.

Sime Darby Property pula mempunyai pendedahan besar kepada aktiviti industri melalui taman industrinya di MVV dan Selangor, selain segmen hartanah yang stabil dan pendapatan berulang daripada pusat data dengan tempoh sewaan 20 tahun yang bermula 2H26.
Langkah ini dijangka menyumbang kepada kestabilan pendapatan syarikat dalam tempoh sederhana.
Projek pusat data 20 tahun Eco World akan membantu menstabilkan perniagaan pembangunan hartanah bermusim mulai 2027.
Syarikat lain seperti UEM Sunrise (UEMS) dan Tambun Indah Land (TILB) dikekalkan pada saranan Pegang.
UEMS masih merupakan salah satu pemain utama di JSSEZ, tetapi keuntungan jangka pendeknya didorong sebahagiannya oleh jualan tanah dan item bukan teras.
TILB pula belum mendapat manfaat sepenuhnya daripada pemulihan industri E&E di Batu Kawan.
Saham EWI Capital pula disarankan untuk Jual kerana syarikat itu kini bergantung pada pendapatan daripada dana pejabat tertutup dan memerlukan masa 8–9 tahun untuk pulangan, menjadikan REIT sedia ada sebagai alternatif pelaburan yang lebih menarik bagi pelabur yang mahukan aliran tunai stabil.
Maybank IB berkata industri hartanah kini menghadapi risiko kos yang meningkat akibat pelaksanaan SST 6 peratus pada perkhidmatan pembinaan, kos pengangkutan lebih tinggi, dan isu tenaga kerja.
Risiko ini boleh menjejaskan margin keuntungan, terutama bagi projek yang telah dijual tetapi belum disiapkan sepenuhnya. - DagangNews.com

