Persaraan Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Perisikan tiada kaitan siasatan SPRM

LocalPolitics
22 Nov 2025 • 12:01 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Persaraan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Mohd Nizam Jaafar dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Datuk Mohd Razali Alias mencetus perhatian umum namun disahkan tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara berkenaan disahkan sendiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi media, hari ini.

“Tiada kena mengena dengan siasatan berkenaan,” katanya ringkas lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang mengaitkan persaraan dua  pimpinan atasan ATM itu dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terlibat  kes penyeludupan dadah Ogos lepas.

Mohamed Khaled turut mengesahkan bahawa kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Media Ogos lalu melaporkan, ATM bersedia menyerahkan dokumen sensitif kepada SPRM berhubung siasatan sindiket penyeludupan yang didakwa melibatkan pegawai kanannya.

Mohd Nizam dalam laporan itu berkata, dari awal ATM telah menyatakan komitmen penuh dan tanpa berselindung dalam membantu siasatan.

"Tiada masalah langsung (kongsi dokumen dengan SPRM). Sejak awal lagi, kenyataan pertama saya adalah bahawa kami akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam menangani isu ini.

"Perkara utama adalah untuk kita memastikan sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak. Sekiranya benar, kita akan melaksanakan tindakan sewajarnya. Sekiranya tidak, alhamdulillah," katanya.

Menurut sumber rasmi, Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Disember 2026. - 22 November, 2025

The post Persaraan Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Perisikan tiada kaitan siasatan SPRM appeared first on Scoop.

View Original Article