Namewee akan dibebaskan esok, tiada bukti pembabitan kematian pempengaruh dari Taiwan

LocalPolitics
12 Nov 2025 • 9:29 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pengarah dan penyanyi rap, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, akan dilepaskan dengan jaminan polis esok selepas tiada bukti setakat ini yang menunjukkan suspek terbabit dalam kes kematian pempengaruh wanita dari Taiwan.

Menurut Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, arahan telah diberikan supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung kes berkenaan, lapor Buletin TV3.

"Bagaimanapun, sekiranya terdapat penemuan baharu hasil siasatan lanjut itu, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan sewajarnya,'' katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, sebelum ini memberitahu polis telah melengkapkan siasatan terhadap Namewee berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita itu.

Menurutnya, kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini, dan masih menunggu arahan lanjut.

Namewee disambung reman tiga hari hingga esok selepas reman pada 5 November lepas berakhir pada Isnin.

Mangsa Hsieh Yun Hsin, 33, ditemukan mati di dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay, dekat sini pada 22 Oktober lepas sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Namewee dipercayai individu terakhir yang dilihat bersama mangsa. - 12 November, 2025

The post Namewee akan dibebaskan esok, tiada bukti pembabitan kematian pempengaruh dari Taiwan appeared first on Scoop.