
Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan agar pekerja di negara ini dibenarkan bekerja secara rela sehingga umur 65 tahun.
Kata penasihatnya Callistus Antony D’Angelus, pekerja wajar dibenarkan bekerja sehingga usia 60 atau 65 tahun mengikut kerelaan masing-masing, lapor Berita Harian.
Sejak dulu lagi, isu had usia pencen diperdebatkan pelbagai pihak. Justeru, perkara tersebut menjadi pendekatan fleksibel yang mana pekerja tidak boleh dipaksa bersara mahupun bekerja.
Menurutnya, sekiranya mereka ingin melanjutkan usia persaraan, tidak seharusnya melibatkan pekerjaan secara kontrak kerana ia akan menimbulkan amalan pekerjaan yang tidak menentu dan mengeksploitasi tenaga kerja.

“Mereka yang melebihi umur 60 tahun sehingga 65 tahun yang ingin melanjutkan persaraan mereka akan mengurangkan tekanan ekonomi pada diri dan negara secara keseluruhan,” katanya.
Ujarnya, penetapan usia bersara mengikut kerelaan sendiri harus terpakai kepada sektor awam dan swasta.
Tambahnya, keputusan menentukan sendiri persaraan pada usia 65 tahun akan membolehkan pekerja memperoleh gaji berpatutan, mempunyai keupayaan berbelanja lebih dan mewujudkan rangsangan untuk pertumbuhan ekonomi.
“Dengan ini, sekali gus mengurangkan tekanan ekonomi pada mereka dan negara secara keseluruhan,” katanya.
Untuk info, had umur pencen di Malaysia sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun, bermula pada 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun dan kemudian pada 2008, dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun.
Perubahan sekali lagi adalah pada tahun 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



