Persatuan Golf Sabah lancar program keahlian remaja

23 Dec 2022 • 1:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Persatuan Golf Sabah (SGA) melancarkan program keahlian remaja perintis dalam usaha mereka untuk membangunkan sukan itu di negeri ini.

Presiden SGA Datuk Peter Khoo yakin program itu boleh mengubah dinamik standard golf Sabah ke tahap baharu.

“Ini adalah usaha dan misi kami untuk menyediakan peluang kepada pemain golf remaja yang mempunyai dan tidak mempunyai keahlian dengan kelab untuk berlatih, beraksi dan bersaing di kelab tempatan.

“Kami sedar terdapat ramai pemain golf remaja yang tidak dapat bermain secara kerap dan mendapat handikap golf untuk bersaing kerana mereka tidak mampu untuk mendapatkan keahlian,” katanya.

Kelab Golf Kudat adalah yang pertama menandatangani memorandum persefahaman dengan SGA awal bulan ini yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Golf Malaysia Tan Sri Anwar Mohd Nor diikuti Sabah Golf and Country Club (SGCC) dengan Datuk John Lo sebagai saksi semasa Terbuka Remaja SGCC ke-18 yang diadakan di kelab itu baru-baru ini.

Menurutnya, kelab lain yang turut bersetuju bagi memberi sokongan ialah Keningau Golf and Country Club, Kelab Golf Tambunan, Kelab Golf Gunung Kinabalu, Kelab Golf Kinabalu, Kelab Golf Tawau, Sandakan Golf and Country Club dan Kelab Golf Labuan.

Sementara itu, seramai 53 pemain golf remaja mengambil bahagian dalam Terbuka Remaja SGCC yang diadakan pada 15-16 Disember.

Rafiq Anugerah muncul sebagai juara keseluruhan lelaki dalam kategori A dengan kemenangan ‘sudden death’ tiga lubang ke atas Aswad Aizudin manakala gelaran kategori A perempuan menjadi milik Nabila Alifuddin dengan Angelina Hwong di tempat kedua.

Danial Jumat adalah pemenang dalam kategori B lelaki mengatasi Nakamura Shunsuke dan gelaran kategori B perempuan menjadi milik Amberly Zaira Zamri dengan Jamie Tan di tempat kedua.

Dalam kategori C, Aiqal Darwish Zain dan Ethan Chee menduduki dua tempat teratas lelaki manakala dua tempat teratas dalam acara perempuan masing-masing dimenangi Chaeeun Yu dan Khloe Yong.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.